Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
BAITULMAQDIS: Israel semalam menuduh Perdana Menteri
Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad bersifat ‘anti-semitisme fanatik’ selepas
melarang negaranya dari menganjurkan sebarang acara sukan yang membabitkan
atlit dari negara Yahudi.
Minggu lalu, Dr Mahathir berkata, perenang Israel tidak akan
dibenarkan masuk ke Malaysia bagi menyertai kejohanan kelayakan Paralimpik
Tokyo 2020 pada akhir tahun ini.
Loading...
Menteri Luar, Saifuddin Abdullah pada Rabu menegaskan negara
itu tidak akan menjadi tuan rumah kepada acara yang disertai Israel.
Jurucakap kementerian luar Israel, Emmanuel Nahshon yang
menyelar keputusan memalukan untuk menghalang atlitnya itu menyifatkan langkah
itu sangat bertentangan dengan semangat Olimpik.
“Israel mengutuk keputusan bersifat anti-semitisme fanatik
Dr Mahathir itu,” katanya.
“Kami menyeru Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa untuk
mengubah keputusan yang salah ini atau menukar lokasi acara terbabit.”
Kuala Lumpur menolak permintaan badan sukan dunia terbabit
untuk mencari penyelesaian berhubung pertikaian itu.
Malaysia adalah antara beberapa negara Islam yang tidak
menjalin hubungan diplomatik rasmi dengan Israel. Penggunaan pasport Israel ke
negara ini juga adalah dilarang. - AFP/Berita Harian


