KOTA BHARU — Kerajaan Kelantan bersedia menghentikan
semua aktiviti pembalakan sekiranya kerajaan persekutuan dapat menyelesaikan
pembayaran royalti minyak seperti yang dijanjikan sebelum ini.
Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata,
pembayaran royalti dianggarkan RM700 juta setahun itu jauh lebih mencukupi
untuk pembangunan Kelantan berbanding RM100 juta setahun hasil daripada
aktiviti pembalakan.
Loading...
“Antara punca kita tebang balak kerana hasil negeri terhad.
Kalau dapat royalti seperti mana yang sepatutnya, kita mungkin boleh berhenti
terus tebang balak, tidak payah buat dah, sebab royalti RM500 juta hingga RM700
juta setahun dapat selesaikan masalah, jadi Orang Asli tidak terganggu,”
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Sambutan
Hari Murabbi Ummah di sini, hari ini.
Katanya aktiviti pembalakan yang dijalankan ketika ini
adalah di kawasan yang telah ditetapkan dan tidak menggangu penempatan Orang
Asli.
Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, pihaknya sudah bersetuju
seluas 11,331 hektar tanah di seluruh Kelantan dikhaskan untuk Orang Asli.
“Biarpun kita tidak mengiktiraf tanah adat, kita sudah
mewartakan hutan seluas 4,856 hektar untuk penempatan dan penanaman di dalam
hutan simpan khas untuk Orang Asli yang tidak dibenarkan sebarang aktiviti
pembalakan.
“Malah kita turut menetapkan seluruh kawasan hutan di negeri
ini menjadi kawasan rayau untuk Orang Asli,” katanya.
Dalam pada itu mengulas berhubung perkembangan kes saman
daripada kerajaan Persekutuan, Mohd Amar berkata pihaknya sudah bersedia untuk
berdepan prosiding itu.
Beliau berkata penasihat undang-undang negeri akan
membentang laporan mengenai kes itu esok kepada Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob
sekali gus membolehkan tindakan dan usaha susulan dilakukan.
“Kita yakin mempunyai kes yang kukuh atas beberapa faktor
yang akan dibawa di mahkamah nanti,” katanya. — Bernama


