Syed Saddiq - Foto BBC
Syed Saddiq menegaskan, beliau bukan
bersifat perkauman, cuma membenci kekejaman kerajaan Israel yang kini ditadbir oleh
Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.
Dalam temuduga dengan BBC HARDtalk pada Rabu bersama
pengacara Shaun Ley, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, menjaga kepentingan warga Palestin
adalah lebih penting berbanding sebuah acara antarabangsa.
Loading...
“Jika penganjuran acara antarabangsa lebih penting daripada
kepentingan saudara-saudari Palestin yang telah dimutilasi, maka hilanglah
perikemanusiaan kita,” jawabnya mengenai keputusan kerajaan yang mengharamkan
atlet Israel memasuki negara ini.
“Kerajaan merupakan ‘lokus’ bagi semua
tindakan moral secara kolektif. Namun, bukan semua rakyat Israel yang
bertanggungjawab. Serupa dengan rakyat Palestin, bukan semua bersalah walaupun
ada segelintir yang bertindak kasar.”, kata beliau lagi seperti dilapor portal Astro Awani.
Syed Saddiq menegaskan, Malaysia akan berani
menentang pelanggaran hak asasi manusia dan sebarang kecenderungan terhadap
keganasan.
“Malaysia berani menentang walaupun ada akibatnya. Negara
ini percaya kepada peraturan perundangan, hak asasi manusia dan menentang
jenayah perang,” ujar beliau pada penghujung temubual itu.
Baru-baru ini, kerajaan membuat keputusan untuk tidak
membenarkan atlet Israel memasuki negara ini serta menyertai Kejohanan Renang
Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang akan berlangsung 29 Julai hingga 4
Ogos depan.
Penegasan kerajaan Malaysia menyebabkan Israel tidak senang
dengan keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menggelar Perdana Menteri sebagai
'anti-Semitisme melampau'.


