Foto Bernama
KUALA LUMPUR — Khamis 24 Januari ini akan
menyaksikan pemilihan Yang di-Pertuan Agong buat kali ke-16 sejak Malaysia
mencapai kemerdekaan lebih 61 tahun lalu.
Proses pemilihan ini adalah kesinambungan kepada sistem
kerajaan beraja berasaskan Perlembagaan yang diamalkan di negara ini dengan
raja atau sultan yang bergelar Yang di-Pertuan Agong akan bersemayam selama
lima tahun.
Loading...
Kekosongan jawatan Ketua Utama Negara itu adalah berikutan
peletakan jawatan Sultan Muhammad V menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan
pada 6 Januari lepas, sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam
sejarah institusi beraja di negara ini.
Bagaimanapun kematangan institusi beraja menghadapi situasi
ini cukup terserlah sehinggakan ia dapat ditangani dengan cara yang cukup
harmoni tanpa sebarang krisis.
Tatacara Pemilihan Agong
Apabila terdapat kekosongan pada jawatan Yang di-Pertuan
Agong, Majlis Raja-Raja akan menjalankan fungsinya sepertimana dalam Perkara
38(6)(a) Perlembagaan Persekutuan untuk memilih Yang di-Pertuan Agong dan
Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Hanya sembilan Raja Melayu yang menjadi ahli Majlis
Raja-Raja akan membuat pemilihan itu pada mesyuarat khas yang ditetapkan.
Cara pemilihan itu dilakukan adalah seperti berikut:-
Bahagian Pertama, Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan
menyatakan seorang Raja layak dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong kecuali
Raja itu belum dewasa atau seseorang Raja itu tidak berhasrat dipilih menjadi
Yang di-Pertuan Agong.
Seseorang Raja juga tidak layak untuk dipilih sebagai Yang
di-Pertuan Agong sekiranya Majlis Raja-Raja mengambil ketetapan melalui undi
sulit bahawa Raja itu tidak sesuai untuk menjalankan fungsi Yang di-Pertuan
Agong disebabkan oleh kelemahan akal atau tubuhnya, atau kerana apa-apa sebab
lain.
Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu A. Aziz berkata
Majlis Raja-Raja bertindak menurut budi bicara berhubung peranan memilih Yang
di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong atau memecat Yang
di-Pertuan Agong daripada jawatannya.
Berkaitan proses pemilihan Yang di-Pertuan Agong, Seksyen 2,
Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja hendaklah menawarkan
jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Raja yang layak dipilih, yang negerinya
ialah yang pertama dalam senarai pemilihan.
Jika Raja itu tidak menerima tawaran tersebut, Majlis
Raja-Raja akan menawarkan jawatan itu kepada Raja yang negeri berikutnya dalam
senarai pemilihan itu dan demikianlah seterusnya sehingga seorang Raja menerima
jawatan tersebut.
Senarai Penggiliran
Susunan penggiliran pertama pelantikan Yang di-Pertuan Agong
dilakukan di atas persetujuan Raja negeri-negeri mengikut kekananan dari segi
tempoh pemerintahan yang dimulakan dengan Negeri Sembilan, Selangor, Perlis,
Terengganu , Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.
Senarai pemilihan tersebut dinyatakan dalam Seksyen 4 yang
bermaksud, pada pemilihan pusingan pertama, senarainya adalah mengikut
pengiktirafan keutamaan antara raja-raja sendiri. Namun, bagi pemilihan
pusingan selepas itu, senarai pemilihan adalah mengikut kedudukan Negeri di
dalam senarai yang disusun mengikut raja di negeri-negeri yang mana, mana-mana
raja yang telah menerima jawatan Yang di-Pertuan Agong akan dipindahkan ke
hujung senarai pemilihan.
Shamrahayu
menjelaskan, pada Seksyen 4(2)(b), Jadual Ketiga Perlembagaan
Persekutuan, ada dinyatakan “apabila ada sesuatu perubahan Raja sesuatu Negeri
yang ada dalam senarai ketika itu, Negeri itu hendaklah dipindahkan ke hujung
senarai itu.”
Tambahnya, peruntukan ini menunjukkan ada kemungkinan bagi
negeri Pahang yang baharu saja memasyhurkan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah
sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Januari lalu akan diletakkan di hujung
senarai pemilihan yang terkini berdasarkan kepada Seksyen 4(2)(b) itu.
“Ada kemungkinan Pahang yang sepatutnya dalam senarai
teratas akan beralih kepada hujung senarai pemilihan kerana perubahan Raja yang
berlaku di negeri tersebut. Namun keputusan tertakluk kepada budi bicara Majlis
Raja-Raja,” katanya.
Pemilihan Secara Sulit
Sementara itu, laman web rasmi Majlis Raja-Raja turut
mengandungi maklumat prosedur bagaimana pengundian dijalankan.
Sekiranya Raja atau Sultan negeri tersebut berada dalam
senarai teratas dan bersetuju untuk dicalonkan, baginda boleh diundi secara
sulit oleh Majlis Raja-Raja.
Kertas undi yang digunakan tidak bernombor serta ditandakan
dengan pen dan dakwat sama.
Kemudiannya kertas undi akan dimasukkan ke dalam peti serta
dimusnahkan sama ada dibakar atau dirincih di hadapan Raja-raja sebaik sahaja
keputusan undian diumumkan.
Raja yang paling muda dari segi pemerintahan dan tidak
tersenarai sebagai calon Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan
Agong dipilih untuk mengira kertas undi bersama-sama dengan Penyimpan Mohor
Besar Raja-raja.
Dalam mesyuarat pemilihan itu, hanya Raja-raja, Penyimpan
Mohor Besar Raja-raja dan Penolong Setiausaha Majlis Raja-raja sahaja yang
terlibat dalam proses pemilihan itu.
Majoriti Lima Undi
Semasa pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan
membekalkan satu kertas undi pada setiap Raja dan setiap Raja diminta
menandakan pendapatnya sama ada Raja yang paling kanan (satu nama sahaja)
adalah sesuai atau tidak sesuai dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Calon mestilah mendapat majoriti lima undi sebelum Raja yang
mempengerusikan Mesyuarat Pemilihan menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong
kepada baginda.
Jika Raja yang berjaya tidak menerima tawaran ataupun raja
itu gagal memperolehi undi majoriti maka proses pengundian semula akan
dijalankan iaitu dengan mencalonkan nama Raja yang kedua dalam senarai
kekananan yang layak dipilih untuk diundi.
Proses hanya akan selesai selepas Baginda menerima tawaran
jawatan Yang di-Pertuan Agong.
Selepas itu, barulah Majlis Raja-Raja mengisytiharkan
Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong dan memegang jawatan itu bagi tempoh lima
tahun. — Bernama


