Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk
Seri Anwar Ibrahim dalam satu temubual menyatakan walaupun rancangan pelantikan
beliau sebagai Perdana Menteri seterusnya merupakan satu perjanjian, beliau
masih memerlukan persetujuan daripada rakyat Malaysia.
Selaku pejuang demokrasi, beliau perlu menghormati prinsip
demokrasi dan keputusan rakyat sama ada akan memilih beliau sebagai Perdana
Menteri seterusnya atau sebaliknya.
Loading...
“Sekarang, ya, perjanjiannya memang saya yang akan menjadi
perdana menteri, tetapi anda betul, akhirnya ia adalah keputusan rakyat yang
menentukan. Sekiranya saya seorang pejuang demokrasi, saya harus menghormati
keputusan itu,” kata Anwar dalam temubual bersama CNN Asia.
Turut ditanya mengenai kerjasama bersama Perdana Menteri,
Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengejutkan banyak pihak.
Kata Anwar, dalam tadbir urus politik dan kehidupan, sifat
'saling memaafkan' adalah sesuatu yang penting.
"Baiklah dalam politik, dalam tadbir urus dan juga
dalam kehidupan, kita perlu menyedari bahawa perasaan belas dan saling
memaafkan adalah penting. Kita juga perlu bergerak ke hadapan dan tidak boleh
terikat pada masa lampau,” kata Anwar lagi.
Sementara itu, mengulas mengenai skandal syarikat pelaburan
negara, 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), Anwar berkata Pakatan Harapan
sebelum ini menyangka skandal itu boleh diselesaikan secara dalaman tanpa
campur tangan pihak luar.
Namun selepas kerajaan mengambil alih tampuk pemerintahan,
beliau menyedari skala sebenar skandal tersebut dan menyeru kerjasama di
peringkat global untuk menyelesaikan kes tersebut.
"Kami perlukan sumber cukup untuk berkhidmat kepada
rakyat. Saya percaya bahawa rakyat dan negara tidak perlu menderita hanya
kerana ketamakan beberapa pemimpin korporat sebelum ini. "
Temubual penuh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama
rancangan Talk Asia akan disiarkan Rabu ini, 23 Januari jam 5.30 petang di
Astro saluran 511, CNN . - Astro Awani


