KUALA LUMPUR — Menteri Pertahanan Mohamad Sabu
menafikan dakwaan bahawa beliau menggunakan aset Angkatan Tentera Malaysia
(ATM) untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.
Sehubungan itu, beliau meminta bekas perdana menteri Datuk
Seri Najib Razak untuk menyemak terlebih dahulu fakta sebelum membuat tuduhan
terhadap beliau.
Loading...
Katanya gambar yang memaparkan beliau dengan
berlatarbelakangkan helikopter merupakan lawatan rasminya ke Kem Slim, Cameron
Highlands pada 9 Januari, tiga hari sebelum penamaan calon PRK kawasan Parlimen
itu.
Jelasnya, beliau yang juga Presiden Amanah menaiki kereta
persendirian ke Cameron Highlands pada hari penamaan calon, Sabtu lepas.
“Saya hairan bekas perdana menteri boleh berfikiran standard
macam orang lain, sepatutnya dia semak dahulu fakta itu. Sebagai bekas perdana
menteri kita hendak hormat dia.
“Tetapi kalau dia juga macam orang lain, saya rasa tidak
apalah...kesian tengok orang bertaraf begitu mengambil maklumat tepi jalan,”
katanya kepada Bernama selepas program bual bicara Bernama News Channel di sini
malam tadi.
Beliau mengulas hantaran di Facebook Najib mengenai gambar
yang tular di media sosial mengaitkan Mohamad menggunakan helikopter ATM untuk
berkempen pada PRK tersebut.
Mohamad berkata anggota tentera ditemuinya di Kem Slim juga
bukan merupakan pengundi Parlimen Cameron Highlands, sebaliknya pengundi
Parlimen Sungai Petani, Kedah.
Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan
malam tadi berkata dua gambar yang tular di media sosial adalah pada hari dan
tarikh berlainan.
“Gambar pertama yang berlatarbelakangkan helikopter adalah
lawatan rasmi beliau sebagai Menteri Pertahanan ke Kem Slim, Cameron Highlands
pada Rabu, 9 Januari 2019. Beliau telah pulang ke Kuala Lumpur pada hari yang
sama selepas selesai lawatan.
“Gambar kedua yang memaparkan beliau ke penamaan calon PRK
Cameron Highlands adalah pada hari Sabtu, 12 Januari 2019.
“Beliau bertolak ke Cameron Highlands pada 11 Januari
menggunakan jalan darat dengan menaiki kenderaan persendirian dan pulang ke
Kuala Lumpur selepas selesai penamaan calon,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut dakwaan bahawa Mohamad menggunakan
kenderaan rasmi kerajaan untuk berkempen di Cameron Highlands baru-baru ini,
adalah tidak benar sama sekali, dan sehubungan itu mana-mana pihak perlu
memeriksa terlebih dahulu untuk kesahihan maklumat sebelum menyebarkan perkara
tidak benar. — Bernama


