TANAH RATA — Dua bekas anggota parlimen Umno yang
meninggalkan parti itu telah diberikan writ saman, kata Setiausaha Agung Umno
Tan Sri Annuar Musa.
Katanya dua individu tersebut adalah Anggota Parlimen Masjid
Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Anggota Parlimen Bagan Serai Datuk Dr
Noor Azmi Ghazali.
Loading...
“Peguam-peguam kita telah menghantar writ saman kepada
mereka,” katanya kepada pemberita sebelum program bersama belia di sini, malam
tadi.
Mas Ermieyati mengumumkan keluar Umno pada 1 Julai lalu dan
menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Disember.
Sementara itu, Dr Noor Azmi meninggalkan Umno pada 26 Jun
sebelum mengumumkan penyertaan ke dalam Bersatu pada 28 November.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai ura-ura menyatakan
enam anggota Umno yang sebelum ini meninggalkan parti tersebut mahu kembali,
Annuar berkata belum ada keputusan khusus mengenainya.
“Umno parti terbuka dan dalam situasi sekarang, kita faham
penderitaan sehingga mereka tersebut (keluar parti),” katanya.
Enam Anggota Parlimen yang kini menjadi Bebas meninggalkan
Umno pada 14 Disember lalu adalah Anggota Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol
Wahid; Anggota Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Anggota
Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.
Anggota Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Anggota
Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Anggota Parlimen
Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Mengenai kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron
Highlands, Annuar mengakui Barisan Nasional kekurangan dana untuk berkempen,
namun menarik perhatian bahan kempen bukan perkara utama bagi sesuatu pilihan
raya.
“Kita orang miskin, sudah tentu orang kata sumber satu
perkara penting kita tak nafikan...tapi ini bukan perkara paling penting,
paling penting kita utamakan rakyat, kita bercakap dari hati ke hati,” katanya.
— Bernama


