Kerajaan negeri Perak di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH)
sentiasa komited membela nasib masyarakat Orang Asli sepanjang masa dan tidak
hanya menghulurkan bantuan secara bermusim terutamanya ketika menjelang pilihan
raya.
Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata pihaknya hanya
mahu membebaskan masyarakat Orang Asli ini daripada kepompong kemiskinan supaya
mereka tidak lagi bergantung kepada pemerintah.
Loading...
“Sebelum ini, sesetengah pihak beranggapan Orang Asli adalah
deposit tetap undi kepada kerajaan setiap lima tahun sekali.
"Apa yang kita mahu lakukan adalah sama-sama pastikan
supaya tiada lagi diskriminasi buat kaum Orang Asli, tidak lagi hanya dipandang
atau dikenang apabila tiba musim pilihan raya sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Program
Kembara Prihatin Majlis Senator Malaysia yang turut dihadiri Presiden Majlis
Senator Malaysia, Datuk Seri Khairuddin Abd Samad di Perkampungan Orang Asli
Pos Yum di Sungai Siput, Perak, semalam.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri juga
tidak akan sama sekali meminggirkan masyarakat Orang Asli dari aspek
pembangunan.
"Sebagai contoh, dalam tempoh dua bulan setelah PH
mengambil alih pemerintahan negeri, saya telah mencadangkan supaya syarikat
berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kerajaan negeri menjadikan penempatan Orang
Asli sebagai kampung angkat bagi menggerakkan pembangunan sosioekonomi dan
pendidikan secara lebih holistik.
"Sebagai kerajaan negeri yang bertanggungjawab,
pentadbiran ini mempunyai visi untuk memajukan masyarakat Orang Asli secara
menyeluruh supaya dapat bersaing dengan kaum-kaum lain di negara ini,"
katanya.
Beliau berkata Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak
(PPPNP) telah mengambil dua penempatan orang Asal di Kampung Perah, Gerik serta
Kampung Ulu Bekor di Kuala Kangsar sebagai kampung angkat dan akan diperluaskan
ke perkampungan Orang Asli yang lain pada tahun ini.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata beliau selaku pemimpin
di negeri itu mahu membantu mengubah pemikiran rakyat terhadap kaum minoriti
itu dalam usaha membantu membangunkan masyarakat Orang Asli.
"Kita mahu masyarakat Orang Asli benar-benar mampu
keluar daripada garis kemiskinan dan menikmati hidup yang lebih selesa.
"Saya berpegang kepada prinsip bahawa kemiskinan bukan
untuk diwarisi. Kita boleh mengubahnya dan saya amat yakin masyarakat ini mampu
berubah," katanya.
-- Bernama


