KUALA LUMPUR - Berikutan trend penjualan ‘pil minda’ yang
didakwa boleh menjadikan seseorang itu genius yang semakin berleluasa dalam
kalangan guru baru-baru ini, Dr. Amalina Che Bakri tampil menyelar tindakan
itu.
Amalina yang juga pakar bedah di London kini menganggap
perbuatan para guru yang menjual produk ‘pil minda’ adalah tidak beretika dan
perlu dilaporkan kepada pihak berwajib.
Loading...
Beliau juga meminta agar Menteri Pendidikan, Maszlee Malik
mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku terbabit.
“Saya dimaklumkan bahawa ada ramai guru yang menjual ‘pil
minda di sekolah…malangnya… @maszlee sila ambil maklum. Terima kasih.
“Tolong jangan manipulasi pelajar anda untuk membeli produk
sedemikian.
“Buat ibubapa dan para pelajar, kerja keras adalah kunci, diet
sihat yang seimbang juga penting dan memakan ‘pil minda’ tidak akan jadikan
anda seorang ‘Einstein’ (Albert Einsten),” katanya menerusi laman Twitternya,
@DrAmalinaBakri, baru-baru ini.
Amalina turut menambah, beliau tidak pernah sesekali
mengambil ‘pil minda’ dan berkata, “Alhamdulillah I do just fine academically”.
Menjawab soalan seorang pengguna Twitter @iqbalazhr sama ada
kismis juga tergolong dalam kumpulan sama seperti ‘pil minda’ itu, Amalina
menjawab “Ambil kismis yang segar, bukan yang diproses di dalam botol”.
Amalina sebelum ini merupakan antara pelajar cemerlang
negara dan mendapat 17A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun
2004. - Bernama


