Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan dua hala dengan Canselor Austria, Sebastian Kurz di Federal Chancellery, di sini, sebentar tadi.
Dr Mahathir dan Kurz kemudian mengadakan sidang media bersama kepada wartawan Malaysia dan tempatan di sini.
Loading...
Selepas pertemuan dengan Kurz, Perdana Menteri turut mengadakan perbincangan dengan Presiden Austria, Dr Alexander Van der Bellen di Istana Hofburg.
Pada tengah hari waktu tempatan di sini, Dr Mahathir akan menyampaikan syarahan bertajuk Memerangi Rasuah Di Malaysia: Pencapaian, Cabaran dan Perspektif di International Anti Corruption Academy (IACA).
Menurut laporan Berita Harian, ini akan disusuli pula majlis bertemu Komuniti Perniagaan Austria dan berdialog dengan warga diaspora Malaysia di Austria dan Republik Slovak.
Dr Mahathir yang tiba di Vienna malam tadi, dijadual menghadiri Persidangan Tahunan ke-10 dan Mesyuarat Agung Pertubuhan Pihak Berkuasa Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IAACA), bertemakan “15 Tahun Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bersatu (PBB) Memerangi Rasuah, Pencapaian dan Prospek di Pusat Antarabangsa Vienna (VIC) esok.
Ia menjadi acara kemuncak lawatan Dr Mahathir yang pertama ke Austria sejak menyandang jawatan Perdana Menteri ketujuh pada 10 Mei tahun lalu.


