Polis sedang mengesan ibu bapa Jho Low dan dua individu lain
yang rapat dengan tokoh perniagaan yang melarikan diri itu bagi membantu
melancarkan siasatan skandal 1MDB.
Dalam satu kenyataan media, Ketua Polis Negara Mohammad Fuzi
Harun berkata, tempat tinggal terakhir ibu bapa Jho Low, iaitu Low Hock Peng
dan Goh Gaik Ewe adalah di Tanjong Bungah, Pulau Pinang.
Loading...
Selain kedua-dua mereka, polis juga sedang memburu pereka
fesyen kegemaran Rosmah Mansor, Shabnam Naraindas Daswani @ Nastasha Mirpuri,
55, serta seorang lagi individu, Tan Kim Loong, 41.
Shabnam adalah warganegara Singapura manakala selain mereka
adalah rakyat Malaysia.
Tempat tinggal terakhir Nastasha Mirpuri ialah di Parkstone
Road, Singapura manakala Tan di , Taman Pusat Kepong, Kuala Lumpur, Low serta
Goh pula di Tanjung Bungah Park, Pulau Pinang, kata Mohammad Fuzi.
Menurut Mohammad Fuzi, mana-mana pihak yang mempunyai
maklumat atau mengenali individu-individu terbabit diminta tampil atau
menghubungi PDRM dengan segera bagi membantu siasatan berkaitan kes 1MDB.
“PDRM memohon kerjasama mana-mana pihak yang mempunyai
maklumat atau mengenali individu-individu berkenaan agar menghubungi Supt Foo
Wei Min di talian 03 – 26101402 atau DSP Albany Hamzah dari pasukan siasatan
jenayah pengubahan wang haram (Amla) di talian 019-2412826," katanya.
Mohammad Fuzi semalam dilaporkan berkata pihaknya dijangka
melengkapkan kertas siasatan berhubung syarikat pelaburan 1MDB, menjelang Mac
ini.
Mohammad Fuzi berkata, siasatan masih berjalan dengan
melibatkan beberapa individu sama ada dari dalam mahupun luar negara selain
sedang mempergiatkan siasatan untuk melengkapkan kertas siasatan dengan secepat
mungkin sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara. - Malaysiakini


