Foto oleh Malaysiakini
KUALA LIPIS — “Bintang kebesaran yang paling saya
minati ialah KSM, Kerja Sampai Mati,” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad, sambil berseloroh.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), yang melakar sejarah apabila
mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kali kedua pada 10 Mei lepas susulan
kemenangan PH pada pilihan raya umum ke-14, berkata selagi ada hayat, beliau
akan terus cuba memperbetulkan keadaan dalam negara.
Loading...
Beliau menegaskan khidmatnya untuk negara bukan kerana duit,
sebaliknya kerana sayang kepada negara.
“Ini negara kita, kita dilahir di sini, dibesar di sini,
berkahwin di sini, dapat anak di sini dan anak kita dapat banyak manfaat
daripada negara ini.
“Tak sayangkah kita kepada negara kita ini?” katanya di hadapan
ribuan pengundi pilihan raya kecil Cameron Highlands di Sungai Koyan, dekat
sini, hari ini.
Turut hadir setiausaha agung DAP Lim Guan Eng, presiden
Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan calon PH bagi PRK berkenaan M Manogaran.
Dr Mahathir pertama kali dilantik menjadi perdana menteri
keempat pada 1981 sewaktu berumur 56 tahun sebelum meletakkan jawatan pada
2003, setelah menerajui tampuk pimpinan negara selama 22 tahun.
Berumur 93 tahun, Dr Mahathir turut mencipta sejarah apabila
menjadi perdana menteri tertua di dunia dengan kembali ke Pejabat Perdana
Menteri di Putrajaya setelah 15 tahun meletakkan jawatan pada 2003. —
Bernama


