KUALA LUMPUR — Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah
Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in
Billah Shah hari ini dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi
tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2019.
Pemilihan Seri Paduka Baginda dibuat pada Mesyuarat Majlis
Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara hari ini.
Loading...
Baginda menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan
sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuatkuasa 6 Januari lalu selepas
memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016.
Mesyuarat tersebut turut memilih Sultan Perak Sultan Nazrin
Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama, menurut kenyataan
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad hari ini.
Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja, yang dipengerusikan oleh
Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, dihadiri oleh kesemua Sultan dan
Raja Melayu kecuali Kelantan.
Kenyataan itu menyebut menurut peruntukan Paragraf 3,
Bahagian Pertama Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-Raja telah
dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Parlimen.
“YAB Perdana Menteri juga telah dimaklumkan,” kata Syed
Danial.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan pada 7
Januari berkata Majlis Raja-Raja memutuskan istiadat melafaz sumpah jawatan dan
menandatangani surat memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong baharu dan Timbalan
Yang di-Pertuan Agong ditetapkan pada 31 Januari ini. — Bernama


