Seorang anggota tentera Amerika Syarikat (AS) terbunuh dalam
misi pertempuran di Afghanistan pada Selasa, lapor agensi berita China Xinhua
memetik kenyataan Jabatan Pertahanan AS tanpa mendedahkan nama mangsa.
"Selaras dengan dasar Jabatan Pertahanan AS, nama
anggota perkhidmatan yang terkorban semasa bertugas tidak akan didedahkan
sehingga 24 jam selepas pemberitahuan kepada waris disempurnakan," kata
Pentagon dalam kenyataan itu.
Loading...
Ini adalah insiden kedua pada 2019 yang menyaksikan anggota
tentera AS terbunuh dalam operasi ketenteraan di Afghanistan.
Seorang anggota tentera AS berpangkat Sarjan iaitu Cameron
Meddock meninggal dunia pada Khamis di Landstuhl, Jerman akibat kecederaan yang
dialami pada 13 Jan di Wilayah Badghis, Afghanistan.
AS telah mengekalkan sejumlah 14,000 anggota tentera di
Afghanistan, sebahagian besarnya menyediakan misi latihan kepada pasukan
keselamatan tempatan Afghanistan dan pada masa yang sama turut menjalankan
operasi antikeganasan terhadap kumpulan pengganas seperti Al Qaeda dan Daesh.
Seorang penyerang bunuh diri Taliban pada pagi Isnin telah
merempuh sebuah balai yang menempatkan Pasukan Khas Afghanistan di Maidan Shar,
ibu kota Wilayah Wardak di bahagian timur negara itu dengan sebuah kenderaan
tentera yang dirampas sebelum itu dan sarat dengan bahan letupan, menyebabkan
sekurang-kurangnya 32 anggota keselamatan terbunuh manakala lebih 70 orang lagi
cedera.
Pentadbiran AS telah mengarahkan pihak tentera agar
mengurangkan kira-kira separuh daripada jumlah anggotanya di Afghanistan pada
Disember, apabila Presiden Donald Trump turut mengumumkan pelan kontroversi
untuk mengundurkan tentera AS dari Syria, yang menyaksikan keganasan meletus
semula di negara itu.
Empat rakyat Amerika terbunuh minggu lepas dalam satu
insiden letupan bunuh diri di Manbij, sebuah pekan di utara Syria yang dikuasai
sebuah kumpulan militia yang bekerjasama dengan puak Kurdish yang disokong AS.
-- Bernama


