Najib: 1MDB not one man’s fault, it’s a systemic failure
(Malaysiakini).
Skandal 1MDB: Jangan salahkan saya, ia kegagalan sistem,
kata Najib (Free Malaysia Today).
Najib Blames ‘systemic failure’ in 1MDB (Malaysian Insight).
Di atas adalah beberapa tajuk berita berkaitan jawapan bekas
Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone
Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak, kepada wartawan di Cameron
Highlands 18 Januari lepas.
Loading...
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri
Kewangan, Lim Guan Eng, yang bertanya jika Najib juga akan meminta maaf selepas
bank pelaburan Amerika, Goldman Sachs, menyatakan rasa kesal dan memohon maaf
kepada rakyat Malaysia di atas peranan bekas pegawai tingginya, Tim Leissner,
dalam skandal 1MDB.
“Kami telah meletakkan sistem termasuk Goldman Sachs dan
semua juru audit, mereka sepatutnya memberitahu kami jika ada sebarang perkara
yang tidak dijangka berlaku. Kami juga ada lembaga pengarah, pengurusan dan
lain-lain lagi.
“Jadi ia kegagalan seluruh sistem. Ia (kesilapan) tidak
boleh hanya diletakkan kepada hanya seorang saja, ia kegagalan seluruh sistem,”
kata Najib.
Saya menunggu lama sikit untuk mengulas kerana saya kurang
pasti kalau Najib benar-benar membuat kenyataan itu atau media massa tersilap
lapor.
Tetapi sehingga sekarang tidak terbaca penjelasan atau
penafian daripada bekas “Malaysian Official One” atau Pegawai Nombor Satu
Malaysia itu, maka kesimpulannya benarlah dia membuat kenyataan tersebut.
Dalam bahasa paling mudah, dia mengaku terbabit dengan
skandal 1MDB cuma bukan bersendirian tetapi bersama dengan orang lain.
Konspirasi 1MDB
Satu dunia sudah tahu bahawa 1MDB adalah sebuah persepakatan
atau konspirasi penipuan yang melibatkan banyak orang dan pihak di dalam dan
luar negara.
Kita tahu Jho Low terlibat. Kita tahu Goldman Sachs
terlibat. Begitu juga beberapa buah firma perakaunan antarabangsa.
Juga terlibat adalah Arul (Azrul) Kanda Kandasamy,Khadem
al-Qubaisi, Mohammad Al Hussaini, Ahmad Maslan dan Shahrir Samad. Malah banyak lagi.
Mereka ini terlibat menipu negara dan rakyat jelata melalui
operasi 1MDB, melindungi kesalahan, menerima dan mengubah duit haram yang
berasal dari operasi songsang 1MDB, pecah amanah dan salah guna kuasa.
Setidak-tidaknya pun mereka menyokong Mohd Najib walaupun
mempunyai bukti yang cukup bahawa berlaku penyelewengan besar dalam urus tadbir
1MDB.
Cuma yang mengejutkan adalah Mohd Najib sendiri secara
terbuka mengaku kepada khalayak ramai bahawa beliau terlibat bersama beberapa
orang lain dalam skandal yang menyebabkan terjadi kegagalan sistemik dalam
1MDB.
Saya sudah banyak kali menyebut dan menulis mengenai
kegagalan yang sistemik dalam urus tadbir 1MDB dan kerosakan institusi yang
sistematik dan meluas ketika pemerintahan Mohd Najib.
Mohd Najib dan beberapa orang yang bersubahat dengan beliau
telah pun dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai tuduhan melibatkan penyonglapan,
pecah amanah dan pembersihan duit haram 1MDB.
Lain yang turut dituduh adalah isteri Mohd Najib,Datin
Paduka Seri Puan Puti Reno Rosmah Mansor, Jho Low, bekas Ketua Setiausaha
Kementerian Kewangan Tan Sri “Kasut Merah” Irwan Serigar Abdullah, bekas
pendakwa raya kes Liwat 2 Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Arul
Kandasamy.
Khianati Diri
Seperti yang biasa dengan kes mahkamah, semua mereka mengaku
tidak bersalah dan sedang dibicarakan. Dengan itu juga maka bermulalah drama
mahkamah.
Macam dijangkakan, pasukan pembelaan Mohd Najib sudah mula
menggunakan pelbagai tipu helah (tricks) untuk melengah-lengahkan perbicaraan.
Tipu helah mereka ini samalah dengan yang digunakan oleh
ahli politik dan pembesar lain yang diseret ke mahkamah sebelum ini.
Mohd Najib sudah pun memulakannya dengan “enggan” masuk
kandang orang kena tuduh dan pasukan pembelaan beliau membantah kehadiran
pegawai tertentu di pihak pendakwa.
Yang nampaknya belum digunakan oleh Mohd Najib adalah
berpura-pura sakit dan minta dimasukkan ke hospital. Sebaliknya kita lihat
beliau segar-bugar dan cergas berpolitik, membuat tampalan media sosial dan
berkempen pilihan raya kecil.
Justeru itu, kita janganlah berharap sangat untuk melihat
Mohd Najib dan tertuduh lain disumbatkan ke penjara dalam masa yang singkat
melainkan kes yang mudah, macam pengubahan wang haram, dibicarakan dahulu.
Kita boleh mengambil perbicaraan pembesar politik sebelum
ini sebagai contoh. Kes pecah amanah dan salah guna kuasa boleh dibuktikan
dengan mudah berbanding pembunuhan atau liwat.
Ada orang kata, kes pengubahan wang haram (money laundering)
juga boleh dibuktikan dengan mudah.
Berbalik kepada pengakuan terbuka Mohd Najib kepada media
massa di Cameron Highlands, yang menjadi persoalan adakah kenyataan itu akan
memberikan kesan kepada kes mahkamah yang beliau hadapi?
Adakah beliau telah menganiaya (incriminate) diri sendiri
dengan mengaku bahawa beliau terlibat dengan kes kegagalan sistemik 1MDB?
Pengakuan atau “admission” Mohd Najib itu mengukuhkan lagi
pendapat umum bahawa memang beliaulah kepala skandal 1MDB dalam kapasitinya
sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat
Antarabangsa syarikat milik negara itu.
Soalnya adakah pengakuan beliau itu juga boleh dijadikan
bukti sahih (admissible evidence) dalam perbicaraan beliau dan konco-konconya?
Kesimpulannya, dalam bahasa yang mudah Mohd Najib berkata
memang berlaku kegagalan sistemik dalam 1MDB dan beliau terbabit. Tetapi bukan
beliau seorang sebaliknya banyak orang lain turut terlibat.
– https://kadirjasin.blogspot.com


