Terlihatnya kebelakangan ini semakin ramai rakyat negara
kita, tidak kira Melayu, Cina atau India, seolah-olah semakin ghairah dan
seronok menghina Raja-Raja Melayu.
Komen-komen yang terpapar di media sosial akhir-akhir ini
dan bagaimana ayat serta bahasa yang digunakan untuk menghina Raja-Raja itu,
amatlah menyedihkan sekali.
Loading...
Kenapakah mereka sanggup berbuat demikian?
Di manakah didikan dan ajaran yang mereka perolehi sejak
kecil sehingga sanggup menggunakan ayat dan bahasa sedemikian rupa?
Tidakkah mereka sedar bahawa Raja, Sultan dan Yang Dipertuan
Agong adalah institusi yang sah dan diiktiraf dalam perlembagaan negeri dan
negara yang perlu disanjung dan dihormati?
Lebih memilukan apabila ada terdapat anak dan cucu pembesar
UMNO sendiri turut terjebak ke kancah itu sehingga ibu bapanya terpaksa memohon maaf secara terbuka.
Harus kita sedar bahawa negara kita mengamalkan sistem Raja
Berperlembagaan dan ia bukan saja termaktub dalam Perlembagaan, malah telah
diterima sebagai sebahagian daripada ciri Malaysia.
Bukan tidak boleh berbeza pendapat atau tidak setuju dengan
Raja atau Sultan, tetapi ia hendaklah dilakukan mengikut cara dan
tatasusilanya.
Menggunakan bahasa kesat, berbentuk makian, carutan dan
sebagainya terhadap Raja-Raja adalah tidak sesuai sama sekali, malah hanya
mencerminkan hodohnya keperibadian mereka yang melakukannya itu.
Dalam hal ini, kerajaan melalui polis, SKMM yang mengawal
sedia media sosial dan lain-lain agensi penguatkuasa seharusnya tampil dengan
pendekatan yang lebih aktif serta menyeluruh agar gejala tidak sihat ini tidak
berterusan berleluasa.
Kerajaan perlu lebih tegas dalam bertindak dan membendung
agar gejala ini tidak terus berkembang yang akhirnya akan merosakkan kehidupan
bernegara.
Selain tangkapan dan hukuman terhadap mereka yang melakukan
kesalahan itu, peringatan atau penerangan mengenainya juga hendaklah sentiasa
diperluaskan.
Dalam kehidupan yang pelbagai dan rencam di negara ini,
semua orang ada peranan dan tanggungjawab masing-masing yang perlu dihormati.
Raja, Sultan dan Agong ada peranan dan tanggungjawabnya yang
tersendiri yang perlu kita junjung dan hormati.
Sebagai ketua negara dan negeri, Agong, Raja atau Sultan
hendaklah kita hormati, bukan mencaci atau memaki dengan kata-kata kesat dan
carutan yang tidak sepatutnya.
Lagi pun, apa yang kita dapat dengan memaki, menghina dan
mencarut terhadap Raja-Raja melalui media sosial itu?
*Shahbudin Husin adalah penulis buku kritik politik
terkenal. Tulisan adalah pendapat peribadi beliau yang tidak semestinya
mewakili pendirian kami.


