Foto oleh RASHID MAHFOF
PUTRAJAYA: Seorang bekas pengerusi agensi kerajaan bergelar
Datuk direman selama empat hari bagi membantu siasatan salah guna kuasa
melibatkan kontrak kerajaan bernilai lebih RM99 juta.
Turut direman, seorang wanita iaitu ketua pegawai eksekutif
sebuah syarikat swasta bagi membantu siasatan berkaitan kes sama.
Loading...
Majistret Irza Zulaika Rohanuddin membenarkan kedua-dua
individu tersebut direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 12 Jan
ini.
Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
menahan lelaki berkenaan yang berusia 64 tahun pada kira-kira 5.50 petang dan
wanita berusia 32 tahun pada kira-kira 5.20 petang di Ibu Pejabat SPRM,
Putrajaya selepas mereka hadir memberi keterangan .
Menurut sumber SPRM, bekas pengerusi agensi kerajaan
tersebut disyaki menggunakan jawatan dan kedudukannya, dalam mencadangkan
sebuah syarikat secara lantikan terus dalam satu projek kempen pengiklanan
digital yang berjumlah lebih RM99 juta menggunakan peruntukan agensi kerajaan
tersebut.
Sumber SPRM itu berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen
23 Akta SPRM 2009.
Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di Mahkamah Majistret
Putrajaya pada pukul 9 pagi dengan berpakaian SPRM berwarna jingga dan tangan
bergari.
-- BERNAMA


