GEORGE TOWN — Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim
hari ini mencabar kepimpinan PAS untuk mendedahkan kepada umum bayaran yang
dibuat kepada Clare Rewcastle Brown untuk bersetuju menyelesaikan kes samannya
di luar mahkamah baru-baru ini.
Loading...
Katanya pendedahan kepada umum ini akan dapat mengelakkan
rakyat daripada terus terkeliru dengan kenyataan-kenyataan yang bercanggah
selepas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik saman terhadap
wartawan Sarawak Report itu awal bulan ini.
“Saya nak tanya ini (kerana) saya belum dapat kepastian
apakah ada bayaran yang diberi kepada Clare dari PAS (supaya bersetuju dengan
penyelesaian luar mahkamah). Lebih daripada sejuta (ringgit)? Boleh tak
disahkan?” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas
menyampaikan ucaptama di Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Antarabangsa
Pulau Pinang di Bukit Jambul dekat sini.
Menurutnya beliau tidak pernah mahu mengulas berhubung
kecaman yang dibuat pimpinan PAS terhadapnya sejak akhir-akhir ini namun
terpanggil berbuat demikian hari ini berikutan keperluan rakyat untuk
mengetahui perkara yang sebenar.
“Saya melihat percanggahan (kenyataan pemimpin PAS)
termasuklah (kenyataan) boleh berbohong yang saya sukar nak terima sebagai
seorang muslim,” katanya. — Bernama


