Aminah Abdullah yang merupakan ibu kepada bekas anggota
parlimen Rompin Allahyarham Jamaludin Jarjis, memfailkan saman terhadap dua
orang cucunya berhubung kegagalan mereka memasukkan syer tiga buah syarikat
dalam senarai aset harta pusaka dianggar bernilai RM1.3 bilion.
Aminah, 85, selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah
Tinggi pada 3 Jan lepas menerusi Tetuan Wan Marican, Hamzah & Shaik, dengan
menamakan Nur Anis Jamaludin, 34, dan Ikwan Hafiz Jamaludin, 32, sebagai
defendan pertama dan kedua.
Loading...
Mahkamah Tinggi menetapkan 2 April untuk pengurusan kes
saman berkenaan di hadapan Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril.
Peguam Aqilah Pawancheek yang mewakili Aminah memaklumkan
perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes berkenaan di hadapan
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Norliza Hussin di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam penyataan tuntutannya, Aminah mendakwa defendan
pertama dan kedua sebagai pentadbir bersama harta pusaka Jamaludin (simati)
gagal memasukkan syer tiga syarikat sebagai aset harta pusaka di dalam senarai
aset di dalam surat kuasa mentadbir sewaktu kematian simati pada 4 April 2015
dan gagal memasukkan syer itu di dalam tanggungan sejak 6 Julai 2017.
Aminah juga mendakwa kedua-dua defendan gagal memasukkan
syer tiga syarikat iaitu syarikat Rantai Wawasan Sdn Bhd, Alpine Motion Sdn
Bhd, Ivory Insight Wawasan Sdn Bhd sebagai sebahagian daripada aset harta
pusaka simati dan dibuat dengan tujuan menafikan hak dan kepentingan plaintif
sebagai benefisiari harta pusaka si mati.
Plaintif juga mendakwa kedua-dua cucunya itu gagal
menyatakan anggaran nilai bagi setiap satu syer tiga syarikat itu yang bernilai
RM1,384,312,154, dua tahun enam bulan selepas kematian Jamaludin, dan gagal
memberi maklumat berhubung dengan harta pusaka sebelum plaintif melantik peguam
syarie dan peguamcara untuk bertindak bagi pihak plaintif.
Defendan-defendan juga didakwa gagal memasukkan sebuah
apartmen di Amerika Syarikat dengan anggaran nilai RM10 juta ke dalam senarai
aset yang dilampirkan bersama surat pentadbiran.
Defendan kedua juga didakwa gagal memaklumkan kepada
plaintif bahawa beliau telah memperolehi sijil faraid bagi harta pusaka
daripada Mahkamah Tinggi Syariah pada 6 Okt 2016.
Kedua-dua defendan juga didakwa meminta plaintif
menandatangani dua dokumen iaitu surat penolakan berkaitan permohonan kedua-dua
defendan untuk geran surat kuasa mentadbir harta pusaka simati dan satu ikatan
perkiraan keluarga, tanpa plaintif diberi peluang mendapatkan nasihat
undang-undang di mana defendan-defandan mengetahui bahawa Mohd Najib Hussain
adalah peguam plaintif.
Oleh itu, plaintif menuntut namanya dimasukkan dalam senarai
pentadbir bersama harta pusaka kerana Aminah sebagai ibu kandung yang sah
kepada si mati mempunyai kepentingan dalam harta pusaka.
Beliau juga menuntut defendan pertama dan kedua membayar
dividen, bonus, keuntungan dan isu terbitan dari pegangan syer tiga buah
syarikat itu ke dalam akaun plaintif dalam tempoh 21 hari dari tarikh perintah
dikeluarkan.
- Bernama


