Penahanan atau pengawasan terhadap seseorang di bawah Akta
Pencegahan Jenayah (Poca) dibuat berdasarkan jenayah yang dilakukan individu
terbabit, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.
Beliau berkata penahanan dan pengawasan dilaksanakan
mengikut keputusan yang ditentukan oleh Lembaga Pencegahan Jenayah selain
peruntukan sedia ada.
Loading...
"Pihak lembaga yang tentukan perkara ini dan kita
bertindak berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada, jadi sebarang proses
dan tindakan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya. Poca ini dilakukan atas
sebab kesalahan, bukan polis sahaja ambil tindakan.
"Jumlah sebenar, hanya seorang sahaja yang masih
ditahan di Pusat Pemulihan Khas Simpang Renggam, Johor manakala 56 lagi telah
bebas namun masih berada di bawah pengawasan Poca," katanya kepada
pemberita hari ini.
Mohamad Fuzi berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Suara Rakyat Malaysia
(Suaram) yang mahukan keadilan serta pembelaan sewajarnya diberikan kepada 142
juvana yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca).
Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph sebelum ini dilaporkan
berkata penahanan di bawah Poca memberi impak negatif terutama dari sudut
psikologi dan masa depan mereka yang ditahan selain meminta kerajaan melihat
semula akta itu serta mencadangkan agar pendekatan lebih efisien dilaksanakan
dalam menguruskan tahanan juvana.
Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan seorang wartawan
sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang kecewa apabila tidak diberikan
pengiktirafan kerana membongkar isu kem tahanan pemerdagangan manusia dan
penemuan kubur besar di Wang Kelian, Perlis, beliau berkata, pihaknya
menyerahkan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
"RCI sudah dibentuk jadi kita akan bagi kerjasama untuk
siasatan berhubung isu pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan tersebut.
Kita akan akur dengan apa juga arahan dan ia akan berlangsung dan diputuskan
melalui inkues dalam tempoh beberapa bulan ini," katanya.
Ahad lalu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin
mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat isu
pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit Wang Kelian, lebih tiga
tahun lepas.
Terdahulu, Mohamad Fuzi menyampaikan pingat Jasa Pahlawan
Negara kepada 293 penerima di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini yang
turut dihadiri Ketua Polis Kedah Datuk Abd Rahim Jaafar.
- Bernama


