LANGKAWI ―
Satu laporan polis dibuat supaya siasatan terhadap anggota Majlis Kerja
Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam kerana memfitnah serta menghina
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta ibu bapa negarawan itu.
Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Kedah, Asmirul Anuar Aris
berkata Lokman Noor dalam satu hantaran video di laman Facebooknya telah
menggunakan beberapa perkataan menghina serta fitnah terhadap Dr Mahathir.
Loading...
“Dia juga menabur sentimen perkauman kerana menyatakan Dr
Mahathir mengikut telunjuk DAP. Sebagai Ketua Pemuda PH Kedah, saya membuat
laporan polis ini supaya satu siasatan segera dilakukan,” katanya kepada
pemberita selepas beliau membuat laporan di Balai Polis Kuah, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Asmirul Anuar yang juga Pengerusi
Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan
Keusahawanan Kedah berkata berbeza pandangan satu perkara biasa dalam politik
namun tidak perlu mengeluarkan perkataan menghina dan memfitnah.
“Kita boleh berbeza pandangan, tidak ada masalah tetapi
jangan sampai menghina Dr Mahathir dan ibu bapa negarawan itu.
“Video tersebut juga menabur fitnah supaya rakyat membenci
Perdana Menteri, rakyat seharusnya tahu Dr Mahathir berkorban pada usia 93
tahun masih berkhidmat untuk rakyat Malaysia disebabkan skandal-skandal
kerajaan Barisan Nasional dahulu,” kata Anggota Dewan Undangan Negeri Kubang
Rotan itu.
Berdasarkan laporan polis itu, Asmirul Anuar mahu polis
mengambil tindakan terhadap Lokman Noor kerana mengeluarkan kenyataan berbaur
perkauman, fitnah dan penghinaan kepada Dr Mahathir yang menjalankan tugas
serta tanggungjawab diamanahkan oleh rakyat Malaysia. ― Bernama


