Foto oleh Astro Awani
Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) akan dibubarkan
dalam tempoh terdekat ini sebagai memberi ruang kepada seramai 64,000 ahlinya
untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Presidennya, Datuk Seri Lajim Ukim berkata, satu Mesyuarat
Khas Majlis Tertinggi sudah diadakan pada hari ini dan pihaknya sebulat suara
untuk menyertai Bersatu secara keseluruhan.
Loading...
Beliau berkata, pembubaran parti berkenaan akan dilakukan
sebaik Persidangan Agung Luar Biasa (EGM) dalam tempoh terdekat ini.
"Di dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi pada
hari ini, kami telah sebulat suara
memutuskan bahawa ahli-ahli yang seramai
64,000 orang akan menyertai Bersatu secara en bloc dan untuk maksud ini, kami
akan mengadakan EGM dalam masa yang terdekat untuk membubarkan Parti Harapan Rakyat Sabah.
"Perwakilan ke EGM tersebut adalah ahli yang sama
dengan perwakilan Persidangan Agung
Tahunan yang lalu pada 26 Oktober 2018," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di pejabat
Harapan Rakyat di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kemasukan Bersatu yang akan membuka
cawangannya di Sabah susulan pengumuman Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini, Lajim
berkata, pihaknya percaya ianya merupakan langkah tepat untuk memperkuatkan
Kerajaan Negeri.
"Kami memahami kegusaran Parti Warisan Sabah (Warisan)
tentang kemasukan Bersatu ke Sabah, tetapi seperti apa yang dikatakan oleh
orang ramai, mereka tidak seharusnya
bimbang kerana Tun Dr Mahathir memberi jaminan Bersatu ingin memperkuatkan
Kerajaan Sabah.
"Apa yang penting, ia tidak akan menentang Warisan
tetapi sebaliknya memperkuatkan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri
Mohd Shafie Apdal," katanya.
Untuk rekod, Harapan Rakyat yang diketuai oleh Lajim
bertanding sebagai pembangkang di negeri
ini melibatkan 16 kerusi parlimen dan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri
(DUN) pada pilihan raya umum ke -14
(PRU14) lalu.
Bagaimanapun, parti itu tewas kesemua kerusi yang
dipertandingkan termasuk Lajim yang sebelum ini memegang kerusi DUN Klias,
Beaufort.
Sementara itu, mengulas mengenai perubahan haluan mereka
yang dahulu terkenal dengan slogan memperjuangkan isu setempat, Lajim berkata,
arus politik memerlukan satu mekanisme baru untuk memperjuangan hak rakyat
dengan beliau berpendapat, ianya dapat direalisasikan dengan parti Bersatu.
Terdahulu, baru-baru ini, Dr Mahathir dalam sidang medianya
mengumumkan Bersatu tetap akan bertapak di Sabah selepas mengambil kira
beberapa faktor termasuklah melihat keadaan sokongan kepada Pakatan Harapan
(PH) di Sabah.
Bagaimanapun beliau menafikan tujuan menubuhkan parti
Bersatu di Sabah adalah untuk memberi saingan kepada parti Warisan. - Astro Awani


