KAJANG — Seorang penyokong Barisan Nasional (BN)
disahkan meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai kumpulan mengiringi
calon ke pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri
(DUN) Semenyih di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof
berkata lelaki berusia 59 tahun itu dikatakan tiba-tiba rebah dan tidak
sedarkan diri di kawasan berkumpul penyokong BN kira-kira pukul 9.20 pagi.
Loading...
“Pasukan kecemasan dari sebuah pusat perubatan swasta yang
dikejarkan ke tempat kejadian
mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya kepada pemberita
ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Dewan Seri Cempaka, Majlis
Perbandaran Kajang di Saujana Impian.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat
dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mengenai perjalanan proses penamaan calon itu, Ahmad Dzaffir
berkata tiada sebarang insiden tidak diingini dilaporkan.
Mengenai permit ceramah semasa berkempen bagi PRK DUN
Semenyih, Ahmad Dzaffir berkata parti politik dan individu bertanding perlu
mengemukakan permohonan permit sekurang-kurangnya 24 jam sebelum ceramah
berlangsung.
“Pihak saya telah berjumpa dengan semua pihak yang
bertanding, borang permohonan permit telah dikeluarkan sejak Jumaat lepas.
“Mereka yang ingin memohon permit ceramah boleh berbuat
demikian mulai hari ini dengan menghantar borang berkenaan ke Bahagian
Perlesenan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang,” katanya.
PRK DUN Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru
antara calon Pakatan Harapan Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (Barisan
Nasional), Kuan Chee Heng (Bebas) dan Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis
Malaysia).
Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd
Nor dari Bersatu yang mewakili PH pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung. —
Bernama


