SEMENYIH — Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan
Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih Muhammad Aiman Zainali
menjelaskan beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengisytiharkan harta
seperti yang dilakukan oleh calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Nik Aziz Afiq
Abdul, tetapi tumpuannya kini lebih kepada usaha berkempen.
Muhammad Aiman yang memulakan kempennya hari ini hanya akan
berbuat demikian jika dirasakan perlu di mana urusan menyantuni penduduk
sekitar kawasan tempat beliau bertanding dan berkempen menjadi keutamaannya
ketika ini.
Loading...
“Ikutkan saya memang
declare income tax saya setiap tahun. Terpulang kalau dirasakan perlu untuk
saya declare saya akan declare. Kalau dirasakan benda itu tidak menjadi satu
kewajipan jadi tak perlu.
“Kita (PH) datang ke sini untuk berkempen jumpa dengan semua
penduduk di kawasan Semenyih jadi fokus kita kepada masalah setempat daripada
memikirkan isu pengisytiharan harta. Bagaimanapun saya yakin ia tidak menjadi
masalah buat diri saya untuk berbuat demikian (isytihar),” katanya kepada
pemberita selepas menziarahi beberapa rumah penduduk warga tua dan yang sakit
di Kampung Pasir, Hulu Semenyih di sini hari ini.
Muhammad Aiman
mengulas gesaan calon PSM itu, yang pagi tadi membuat pengisytiharan harta,
agar kesemua calon yang bertanding PRK DUN Semenyih untuk berbuat perkara yang
sama.
Dua lagi calon adalah Zakaria Hanafi daripada Barisan
Nasional dan calon Bebas Kuan Chee Heng.
Dalam pada itu, Muhammad Aiman turut mengutuk tindakan pihak
tertentu membuat ugutan terhadap Kuan kerana bertanding pada PRK itu.
Muhammad Aiman, 30, yang merupakan seorang jurutera berkata
isu ugutan seperti itu tidak sepatutnya berlaku dalam politik dan ia perlu
dihentikan serta merta.
“Kita harap proses pilihan raya ini berjalan dengan bersih
mengikut undang-undang dan saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menilai
dan mengambil tindakan,” katanya.
Kuan yang dikenali sebagai Uncle Kentang menerima ugutan
bunuh malam semalam selepas beliau sah bertanding pada PRK DUN Semenyih selepas
proses penamaan calon semalam.
Mengenai isu yang tular di media sosial bahawa beliau menipu
dengan mendakwa memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) berdasarkan maklumat di
laman LinkedIn miliknya, Muhammad Aiman menjelaskan bahawa timbul salah faham
masyarakat berhubung status pendidikan serta wujud kesilapan teknikal berhubung
pencapaian beliau seperti dipaparkan di laman itu.
“Ramai tak tahu saya tak ambil diploma. Saya ambil fast
track, matrikulasi saya terus jump ke degree
kemudian saya dapat first class honour dan saya dapat offer ke PhD
(tanpa mengambil ijazah sarjana).
“Biasanya media sosial jarang update, jadi benda tu jadi
isu. Saya harap benda itu semua orang boleh faham dan saya tak pernah declare
saya dah ada PhD. Yang saya cakap adalah saya sedang dalam pengajian itu
sahaja,” katanya.
Sewaktu ziarah itu, Muhammad Aiman dan isterinya Nurul
Filzah Bakhtiar diterima baik oleh penghuni kesemua rumah yang diziarahinya dan
rata-ratanya memohon untuk diberikan bantuan perkhidmatan kesihatan.
Berkopiah putih seawal kempen sejak dari pagi, beliau dan
isteri memulakan kunjungan rumah ke rumah dengan melawat seorang penduduk
dikenali sebagai Muthu, yang mengalami masalah kesihatan akibat strok dan
lumpuh separuh badan.
Muthu tinggal bersama isterinya di rumah yang tidak
mempunyai bekalan elektrik dan air sedangkan rumah mereka bersebelahan jalan
utama. Lebih perit Muthu dan isteri tidak mempunyai anak dan isterinya perlu
mengambil air untuk mandi dan makan serta minum dari sumber sungai di belakang
rumah mereka.
Sehubungan itu, Muhammad Aiman menyatakan beliau akan
berhubung dengan agensi berkaitan supaya dapat membantu mereka.
Sementara itu, Zahalimi, 57, seorang warga emas yang
menghidap strok sejak 2016, menyambut baik kehadiran Muhammad Aiman dan
isterinya kerana beliau kenal rapat dengan bapa Nurul Filzah, Allahyarham
Bakhtiar Mohd Nor, wakil rakyat Semenyih sebelum ini yang meninggal dunia pada
11 Jan lepas akibat serangan jantung.
Zahalimi berharap Muhammad Aiman dapat meneruskan usaha bapa
mertuanya berbakti kepada rakyat terutama penduduk di Semenyih. — Bernama


