Seorang pengurus kanan kewangan syarikat pelaburan hartanah
Pasdec Holdings Berhad mengaku tidak bersalah terhadap lima tuduhan melakukan pecah
amanah berjumlah RM320,000, lima tahun lalu.
Pengakuan Ahmad Rosdi Ismail, 50, direkodkan di hadapan
Hakim Mahkamah Sesyen Kuantan, Mohd Ghazali Mohamad Taib sebaik sahaja semua
tuduhan terhadapnya dibacakan.
Loading...
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 8 Sept 2014 dan
21 Mac 2016 di pejabat Pasdec Holdings Berhad di Menara Teruntum dan CIMB Bank
Berhad cawangan Kompleks Teruntum yang kedua-duanya terletak di Jalan Mahkota
di Kuantan, Pahang.
Kesalahan itu yang didakwa berlaku sebanyak lima kali, melibatkan
jumlah antara RM200,000 dan RM30,000 dalam satu transaksi.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409
Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20
tahun dan sebatan serta dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad 'Adha 'Amir Yasser Amri menawarkan
jaminan RM130,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dengan syarat
tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Peguam Bastian Pius Vendargon bagaimanapun merayu supaya
jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama
sepenuhnya kepada SPRM dan berjanji akan hadir ke mahkamah sepanjang
perbicaraan.
"Tertuduh juga merupakan penanggung tunggal kewangan
keluarga. Selain menyara isteri yang tidak bekerja, dua anaknya adalah
kanak-kanak istimewa iaitu autisme.
"Tertuduh hanya mampu menjelaskan jaminan tidak
melebihi RM50,000. Saya merayu supaya mahkamah memberikan jaminan yang
munasabah dan anak guam saya tidak mempunyai masalah untuk menyerahkan pasport
miliknya," katanya.
Mohd Ghazali menetapkan jaminan RM50,000 bagi semua
pertuduhan dengan seorang penjamin dan 6 Mac depan sebagai sebutan semula untuk
penyerahan dokumen.
- Bernama


