Foto Berita Harian
Bekas anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu
menjelaskan dakwaan kesalahan mereka dan tidak boleh lari daripada siasatan
hanya kerana telah letak jawatan, kata Bersih.
NGO pilihan raya itu mengulas kenyataan Peguam Negara Tommy
Thomas bahawa tribunal siasatan terhadap enam bekas anggota SPR bukan sekadar
bersifat akademik.
Loading...
"Bekas anggota SPR yang mengendalikan PRU ke-14 perlu
dipertanggungjawabkan terhadap dakwaan serius yang dihadapkan terhadap mereka.
"Mereka tidak boleh dibenarkan lepas daripada
pemerhatian kehakiman dengan mudah atas tindakan mereka ketika pilihan raya,
hanya dengan peletakan jawatan.
"Ini akan menghantar mesej salah terhadap penjawat awam
lain," kata Bersih dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, pengerusi tribunal Sim Lip Keong membangkitkan
persoalan sama ada proses itu mempunyai manfaat kerana perkara itu kini
dianggap akademik, memandangkan enam yang disiasat tribunal sudah meletakkan
jawatan.
Enam bekas anggota SPR itu ialah Othman Mahmood, Mohd Yusop
Mansor, Abdul Aziz Khalidin, Sulaiman Narawi, K Bala Singam dan Leo Chong
Cheong.
Sementara itu, Bersih berkata tidak adil jika enam individu
itu "dibiar bebas" dan menikmati pencen, faedah dan kebajikan ketika
dakwaan terhadap mereka tidak dijelaskan.
Bersih juga menggesa mereka membersihkan nama dan
menggunakan hak untuk membela diri jika yakin tuduhan terhadap mereka tidak
benar.
"Jika mereka yakin tidak bersalah, mengapa letak
jawatan sebaik berita penubuhan tribunal dilaporkan?" - Malaysiakini


