SEMENYIH ―
Sambutan hari jadi Muhammad Aiman Zainali, calon Pakatan Harapan (PH) bagi
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang jatuh pada hari ini mungkin
sedikit berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Antara acara yang mengisi hari istimewa Muhammad Aiman yang
genap usia 30 tahun itu ialah turun padang bertemu masyarakat Cina di pasar
pagi Kampung Baru Semenyih di sini dalam siri kempennya menjelang Pilihan Raya
Kecil (PRK) DUN itu pada 2 Mac ini.
Loading...
Ramai dalam kalangan mereka kelihatan gembira bertemu pemuda
itu malah ada yang menyanyikan lagu hari jadi dalam bahasa Melayu dan Cina buat
Muhammad Aiman apabila mereka mengamati risalah kempen calon tersebut yang
tertera tarikh lahirnya.
Ketika ditemui pemberita, jurutera muda itu berkata ini sesi
lawatan keduanya khusus untuk bertemu masyarakat Cina dalam minggu ini dan
beliau yakin sokongan mereka memihak kepada PH.
Beliau juga berkata rata-rata masyarakat Cina yang mewakili
kira-kira 17 peratus pengundi di Semenyih yang ditemuinya berharap agar masalah
setempat diberikan perhatian.
“Kebanyakan isu yang dibangkitkan lebih kepada infrastruktur
seperti jalan raya, keadaan bangunan pasar dan (sekiranya PH menang PRK ini)
kita akan minta pihak berkenaan turun melihat masalah mereka dan meminta ia
selesaikan segera,” katanya.
Dalam pada itu, Anggota Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Kampung Baru berkenaan, Stanley Minjoot, 72, berharap kerja
pembesaran jambatan berdekatan kawasan
perumahan mereka dapat dipercepat.
“Kerja pembesaran jambatan itu kalau tak silap saya bermula
sekitar akhir tahun lepas dan telah menyebabkan kesesakan jalan di kampung ini.
Banyak lori yang melalui kampung kami,” katanya.
Seorang penduduk kampung yang hanya ingin dikenali Cikgu
Hiew, 70, berharap bakal wakil rakyat
nanti akan dapat menyelesaikan masalah jalan rosak, lampu jalan yang tidak
cukup dan longkang tersumbat yang sekian lama membelenggu penduduk Semenyih.
Ditanya ciri-ciri calon yang akan dipilihnya pada hari
mengundi, Cikgu Hiew berkata: ”Calon itu mesti boleh dipercayai, boleh buat
kerja, boleh dengar apa yang pengundi harapkan. Itu ciri-ciri yang kita mahukan
bagi wakil rakyat kita.”
Pada PRK itu, Muhammad Aiman berdepan cabaran Zakaria Hanafi
(Barisan Nasional); Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon
Bebas Kuan Chee Heng.
Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya,
Bahtiar Mohd Nor, 57, daripada PH pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung. ―
Bernama


