Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin
Ayub, menitiskan air mata ketika membaca surat yang diserahkan seorang petani
pada majlis pelancaran hala tuju kementeriannya di sini, hari ini.
Suara beliau tersekat-sekat ketika membaca surat itu, yang
mengundang rasa sedih hadirin yang hadir pada majlis berkenaan, malah ada
hadirin yang turut menitiskan air mata.
Loading...
Surat berkenaan diserahkan wakil petani dari Pertubuhan
Peladang Kawasan Sungai Besar, Ibas Hamud, 77, ke tangan Salahuddin sendiri
sebagai gimik pelancaran hala tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas
Tani, lapor Berita Harian.
Surat yang dibaca Salahuddin itu antara lain meluahkan
kebimbangan dan kegusaran petani serta nelayan dengan pemotongan elaun sara
diri kumpulan berkenaan.
Ibas, yang dipanggil Wak Ibas, turut berada di atas pentas
ketika surat itu dibaca Salahuddin.
Ketika sebak membaca surat itu, isteri Salahuddin, Datin
Fatimah Taha, turut menenangkan beliau dengan menepuk- nepuk bahunya. Fatimah
juga dilihat mengesat air matanya dengan tisu.
Selesai membaca surat itu, Salahuddin berkata selagi
memimpin kementerian itu, beliau akan berusaha memastikan golongan petani dan
nelayan akan terus di bantu.
Selesai itu, Salahuddin kemudian menjemput Wak Ibas minum
kopi bersama beliau.
Aksi Salahuddin yang bersahaja meminta maaf kepada Wak Ibas
kerana tidak menyediakan kuih-muih mengundang ketawa hadirin.
Salahuddin, dalam ucapan pelancaran Hala Tuju kementerian
itu, berkata walaupun surat itu yang diserahkan Wak Ibas hanyalah gimik
pelancaran tetapi isi kandungan surat berkenaan adalah luahan sebenar petani
dan nelayan.
“Selagi nyawa dikandung badan dan saya diberikan amanah
menerajui kementerian ini, saya akan membela nasib warga petani, nelayan dan
penternak ini.
“Semoga Allah memelihara diri saya untuk membawa amanah ini
kerana wajah seperti Wak Ibas hanya dapat diubah jika kita menunaikan
tanggungjawab diberika dan tidak membiarkan lagi mereka terus miskin,” katanya.
Wak Ibas, yang ditemui selepas majlis itu, berkata beliau
juga hampir menangis apabila Menteri menangis membaca surat yang beliau
serahkan itu.
“Saya pun rasa macam hendak menangis apabila tengok Menteri
menitiskan air mata, itu bukan gimik, memang betul dia (Salahuddin) menangis,
saya nampak basah lengan bajunya terkena air mata,” katanya.
Ditanya mengenai surat itu, katanya kandungan surat itu
adalah luahan rasa beliau dan kawan-kawan, yang hari ini diserahkan sebagai
gimik pelancaran.
“Walaupun gimik, surat itu betul, bukan sengaja direka,
memang saya dan rakan mahu meluahkan isi hati nasib warga petani ini kepada
menteri,” katanya.


