Mynewsblog

Sumber Isu semasa,berita, ekonomi, bisnes, kewangan,automotive, politik dan sebagainya.

10 letupan bom gegar selatan Thailand


Sekurang-kurang 10 letupan bom menggegarkan wilayah bergolak Phatthalung dan Satun di selatan Thailand sejak malam tadi hingga awal pagi ini.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun letupan itu mengakibatkan kerosakan pada bangunan dan kenderaan di tempat kejadian.

Loading...
Di Wilayah Phatthalung, kira-kira 200 kilometer dari Pattani, sekurang-kurangnya enam butir bom meletup di Daerah Pak Phayun antara pukul dua hingga empat pagi (waktu tempatan) Ahad manakala sebutir lagi berjaya dimusnahkan.
Media tempatan melaporkan bahawa letupan itu berlaku di beberapa lokasi termasuk beberapa kedai runcit, kedai basikal di tambon (subdaerah) Don Prahu dan sebuah tong sampah berdekatan sebuah tadika di Daerah Pak Phayun.
Berdasarkan rakaman CCTV di tempat kejadian, polis mendapati dua suspek menggunakan motosikal berada di beberapa lokasi kejadian.

Sementara itu, empat lagi letupan dilaporkan berlaku di Wilayah Satun lewat malam sehingga awal pagi ini.
Ketua Polis Muang Satun Kol. Pacharapol Na Nakorn berkata dalam kejadian pertama kira-kira 10.15 malam (waktu tempatan), sebutir bom dipercayai meletup di dalam tong sampah di depan Balai Polis Satun.
Dalam kejadian kedua kira-kira 10.50 malam (waktu tempatan), beliau berkata sebutir bom meletup di tempat letak kenderaan balai polis itu yang mana ia dipasang di sebuah motosikal sebelum diletupkan.
“Siasatan skuad bom (EOD) mendapati bom yang digunakan dalam insiden itu adalah bom buatan sendiri. Tiada serpihan bom ditemui,” katanya.

Laporan awal polis mendapati lima buah kereta dan puluhan motosikal di tempat letak kenderaan balai polis tersebut mengalami kerosakan manakala bangunan turut mengalami kerosakan akibat insiden itu
Selain itu, dua butir bom meletup di luar sebuah kedai runcit di Khlong Khud kira-kira 4.20 pagi dan 5.10 pagi manakala satu lagi berjaya dimusnahkan.
Pihak berkuasa tempatan mengadakan mesyuarat untuk memantau dan mengetatkan kawalan di wilayah bergolak itu.
-Bernama
Loading...
loading...