KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah
Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat menunaikan solat Jumaat bersama
anggota Kabinet beragama Islam di Surau Utama Istana Negara di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka pada 1.20 tengah hari
diiringi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.
Loading...
Antara anggota Kabinet yang hadir menunaikan solat Jumaat
ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri
Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad;
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad; Menteri Perdagangan Dalam
Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri
Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail
Bakar; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, ketua-ketua jabatan dan
agensi kerajaan serta orang ramai.
Khutbah bertajuk ‘Mahalnya Sebuah Keamanan’ disampaikan Imam
Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad yang turut mengimamkan
solat.
Dalam khutbah itu, Syaikh Ismail menarik perhatian bahawa
Malaysia amat bertuah kerana berada dalam keadaan aman dan sejahtera berbanding
beberapa negara lain yang terpalit dengan konflik dan peperangan.
“Bukan mudah untuk kita berada dalam situasi sebaik ini.
Keamanan adalah satu nikmat yang amat berharga dan didambai setiap manusia,”
katanya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya menggunakan
kemudahan media sosial dengan bertanggungjawab agar tidak mencetuskan
ketegangan dan huru-hara atau menanam sifat kebencian sesama sendiri.
Jemaah kemudian turut bersama mendoakan agar mereka yang
terjejas susulan insiden pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang, Johor untuk
segera pulih dan kualiti udara kembali seperti sedia kala.
Selesai solat, Al-Sultan Abdullah berkenaan berangkat ke
majlis santapan tengah hari bersama jemaah di Dewan Santapan Utama yang turut
dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.


