KUALA LUMPUR – Subsidiari Boustead Holdings Berhad (BHB),
Boustead Hotels & Resorts Sdn. Bhd. memasuki perjanjian jual beli (SPA)
dengan Every Room A Home Sdn. Bhd. untuk melupuskan pegangan Hotel Royale
Chulan Bukit Bintang dengan pertimbangan tunai RM197 juta.
Every Room A Home Sdn. Bhd. merupakan subsidiari Hotel Royal
Limited.
BHB dalam kenyataannya berkata, pertimbangan penjualan itu
berdasarkan kesediaan penjual dan pembeli dengan faktor penilaian pasaran yang
saksama dan telah dinilai oleh pihak profesional bebas.
Loading...
Bagaimanapun, katanya, SPA tersebut perlu mematuhi beberapa
syarat yang ditetapkan seperti pembeli perlu mendapatkan kelulusan daripada
Unit Perancang Ekonomi bagi pengambilalihan berkenaan.
“Pembeli juga harus mendapat kelulusan Jawatankuasa Kerja
Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk mengambil alih harta berkenaan di
bawah Seksyen 433B Kanun Tanah Negara 1965.
“Selain itu, pembeli perlu melengkapkan semua syarat dan
keperluan penyenaraian yang dikenakan oleh Singapore Exchange Securities
Trading Limited (SGX),” katanya di sini, hari ini.
Menurut jurucakap BHB, penjualan hartanah tersebut merupakan
sebahagian daripada rancangan keseluruhan Boustead Group untuk kembali untung
dengan cara melupuskan aset-aset bukan strategik.
Jelasnya, tawaran jualan berkenaan memberi nilai yang besar
kepada kumpulan dengan mengambil kira prospek untuk menguruskan hotel, kadar
pengambilan yang rendah, usia hartanah dan peningkatan persaingan industri.
“Hotel Royale Chulan Bukit Bintang yang terletak di lokasi
strategik dalam segi tiga emas Kuala Lumpur membolehkan kami melupuskannya pada
harga premium berbanding nilai buku bersih. Kumpulan dijangka merealisasikan
anggaran keuntungan sebanyak RM92 juta apabila selesai kelak.
“Ini sememangnya peluang terbaik untuk meningkatkan nilai
pemegang saham,” ujarnya.
Cadangan penjualan itu dijangka selesai pada pertengahan
tahun ini. – UTUSAN ONLINE


