PERMATANG PAUH — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri
Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata bukan mudah untuk kerajaan Pakatan Harapan
(PH) membaiki sistem berusia 60 tahun yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.
Katanya usaha itu akan mengambil masa dan ini ditambah
dengan beban hutang negara yang banyak, ditinggalkan oleh kerajaan Barisan
Nasional (BN) dahulu.
Loading...
“Selama 60 tahun kerajaan tidak pernah tukar. Bila kita
ambil alih kita tidak ada dana yang mencukupi. Ini fakta...hutang negara kalau
kita tidak membayar kita akan menjadi negara yang bankrap.
“Kita (kerajaan PH) baru lapan bulan, tidak mudah membaiki
sistem yang dah lama. Ini bukan excuse (alasan). Kita cuba usahakan dengan
mengadakan mesyuarat demi mesyuarat, jawatankuasa demi jawatankuasa macam mana
kita nak turunkan kos sara hidup yang kita rasa bebankan rakyat,” katanya
ketika berucap pada program Santai Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri,
di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya
Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar
dan Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya Dr Afif Bahardin.
Dr Wan Azizah yang juga Presiden PH mengakui kerajaan baharu
mempunyai kelemahan berikutan kebanyakan barisan Kabinet adalah muka baharu
yang tidak mempunyai pengalaman dalam pentadbiran negara.
“Kerajaan ada kelemahan memang saya akui, kita tidak
‘perfect’ (sempurna). Saya sendiri akui sebab (anggota) kabinet semua muka
baharu. Yang lama pun (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad dan (Menteri
Dalam Negeri) Tan Sri Muhyiddin Yassin. (Menteri Kewangan) Lim Guan Eng dan
(Menteri Hal Ehwal Ekonomi) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ada pengalaman
mentadbir negeri.
“(Menteri) lain semua muka baharu. Kami perlu realistik.
Bagaimanapun kita akan cuba betulkan keadaan,” katanya.
Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata beliau sekeluarga
terhutang budi dengan penduduk Permatang Pauh yang sentiasa memberikan
sokongan, bermula dengan suaminya yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar
Ibrahim sehingga anak mereka Nurul Izzah.
Menurutnya walaupun kini beliau tidak lagi menjadi wakil
rakyat di kawasan itu, beliau sentiasa mengingati jasa penduduk Permatang Pauh.
“Saya tidak akan lupa jasa orang Permatang Pauh. Saya memang
terhutang budi. Memang saya lama tak balik, memang rindu. Permatang Pauhlah di
mana saya bertatih sehingga sampai ke peringkat dunia. Kini, anak saya Nurul
Izzah pula menjadi wakil rakyat di sini untuk kesinambungan perjuangan kita,”
katanya. — Bernama


