PUTRAJAYA — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Pakatan
Harapan (PH) tidak bimbang dengan kerjasama Umno-PAS yang menjadi antara punca
kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan
Negeri (DUN) Semenyih, semalam.
Perdana Menteri berkata beliau yakin gabungan sebegitu hanya
akan berlaku pada PRK yang kemenangannya tidak membawa makna besar.
Loading...
“Dalam pilihan raya kecil menang kalah tidak penting tetapi
dalam pilihan raya umum lain, mereka tidak tidak boleh bekerjasama.
“Kalau mereka bekerjasama PAS tidak akan mendapat apa-apa,”
kata Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH pada sidang media selepas merasmikan
sambutan Hari Landskap Negara di Taman Botani, di sini hari ini.
BN merampas kembali kerusi DUN Semenyih pada PRK semalam
yang menyaksikan calonnya Zakaria Hanafi mengatasi calon PH Mohammad Aiman
Zanali dan dua lagi calon dengan majoriti 1,914 undi,.
Mengakui penggunaan isu agama yang keterluan ketika kempen
juga antara punca kekalahan PH, Dr Mahathir berkata pihaknya akan segera
melakukan ‘post-mortem’ bagi mengenal pasti punca sebenar gabungan itu gagal
mempertahankan kerusi DUN Semenyih yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14) Mei tahun lepas.
Beliau berkata perbezaan majoriti yang diraih juga
menunjukkan pengundi Semenyih sudah berubah fikiran akibat persepsi negatif dan
provokasi agama tidak perlu yang berlaku sepanjang tempoh berkempen.
“Ada sesetengah pihak yang melakukan provokasi tidak perlu
seperti melukis kartun Nabi Muhammad sedangkan perkara sebegini tidak
menyumbang ke arah kebaikan negara,” katanya.
Berhubung kegagalan menunaikan janji manifesto yang juga
dilihat antara faktor menyumbang kekalahan PH itu, Dr Mahathir berkata kerajaan
memerlukan masa yang lebih panjang untuk merealisasikan janji mereka.
Perdana Menteri berkata ketika pihaknya berusaha menunaikan
janji pilihan raya, kerajaan juga pada masa yang sama perlu membayar hutang
lebih RM1 trilion yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.
Menjadikan hutang projek Laluan Rel Pantai Timur sebagai
contoh, Dr Mahathir berkata kerajaan terpaksa membayar faedah RM200 juta pada
setiap enam bulan bagi pinjaman RM55 bilion yang dibuat kerajaan terdahulu
untuk melaksanakan projek tersebut.
“Bermakna duit yang kita ada yang sepatutnya diguna untuk
membantu rakyat terpaksa digunakan untuk membayar hutang yang ditinggalkan
kepada kita,” katanya.
Dr Mahathir juga mempertahankan dakwaan PH terhadap PAS
kerana yakin dengan kebenarannya termasuk janji tidak menyokong Umno di
Semenyih serta pembayaran RM1.4 juta
kepada Editor Sarawak Clare Rewcastle-Brown untuk penyelesaian luar
mahkamah kes saman membabitkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Dr Mahathir berkata pihaknya mempunyai bukti jelas berkenaan
pembayaran tersebut dan perkara itu tidak boleh disembunyikan daripada
pengetahuan rakyat.
Katanya beliau tidak
menyalahkan individu (Rameli Musa) yang dikaitkan dengan pembayaran wang oleh
Abdul Hadi kepada Rewcastle-Brown namun “marah dengan cara PAS yang berbohong”.
— Bernama


