SEMENYIH ― Ketua Umno Bahagian Puchong Datuk Mohamed
Satim Diman diberi tempoh 48 jam untuk memohon maaf dan menarik balik
kenyataannya yang didakwa telah mengaitkan kematian empat wakil rakyat Pakatan
Harapan (PH) di Selangor sebagai amaran daripada Allah.
Adibah Ahmad, balu kepada bekas Anggota Dewan Undangan
Negeri (Adun) Seri Setia, Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, berkata
sebagai seorang yang bergelar pemimpin beragama Islam, Mohamed Satim tidak
seharusnya mengeluarkan kenyataan biadap yang mengguris hati keluarga wakil
rakyat yang sudah meninggal dunia.
Loading...
Bercakap pada sidang media di sini hari ini sebagai mewakili
keluarga tiga lagi bekas Adun Selangor, beliau berkata mereka akan berbincang
mengenai tindakan seterusnya sekiranya Mohamed Satim berdegil dan tidak
menginsafi akan kenyataannya.
“Kami sedih dan amat terkilan kerana dalam saat kami masih
merasai kehilangan keluarga kami, ada pula kenyataan sebegini... beliau juga
ada keluarga, maka cubalah fahami perasaan kami.
“Kenyataannya bukan sahaja liar, malah sangat biadap...bukan
sahaja biadap kepada waris tetapi beliau biadap kepada tuhan, beliau
seolah-olah menjadi wakil tuhan menurunkan hukum,” kata Adibah.
Mohamed Satim dilaporkan oleh sebuah portal berita sebagai
berkata semua pilihan raya kecil (PRK) di Selangor iaitu di Sungai Kandis, Seri
Setia, Balakong dan kini di Semenyih melibatkan kematian wakil rakyat daripada
PH dan bukan daripada Barisan Nasional (BN).
Beliau didakwa berkata Allah telah memberi amaran sejak
(PRK) Sungai Kandis lagi supaya rakyat memilih parti pemerintah yang tepat,
namun rakyat tidak memahami isyarat itu.
Kesemua PRK di Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong
dimenangi calon PH.
Adibah berharap tidak akan ada lagi kenyataan tidak berperikemanusiaan
serta unsur-unsur kempen yang melampaui batas, norma dan budaya sebagai rakyat
Malaysia dalam mana-mana PRK mendatang.
PRK DUN Semenyih diadakan Sabtu ini berikutan kematian
penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor
daripada PH pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.
Ia menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH
Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti
Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng. ― Bernama


