SEMENYIH — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
berkata, sia-sia sahaja sekiranya pengundi di Semenyih memilih calon Barisan
Nasional (BN) atau parti lain pada pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) itu, Sabtu ini.
Malah, katanya, calon pembangkang tidak mampu melaksanakan
agenda pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat kerana tidak mempunyai kuasa di
peringkat persekutuan dan negeri.
Loading...
Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH),
sebaliknya berkata, calon PH, Muhammad Aiman Zainali mempunyai kelebihan untuk
menunaikan agendanya untuk penduduk Semenyih sekiranya menang PRK itu kerana
mempunyai sokongan daripada kerajaan negeri dan pusat yang diterajui PH.
"Kalau pilih (calon) parti pembangkang, apa yang boleh
dia buat. Lagipun, Selangor ialah antara negeri terawal yang menolak BN,"
katanya.
Dr Mahathir berkata demikian ketika berucap pada Ceramah
Perdana Pakatan Harapan, di sini malam tadi dalam siri kempen untuk memastikan
kemenangan PH dalam PRK itu.
Turut hadir Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin,
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung DAP Lim
Guan Eng, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Muhammad Aiman.
Dalam pada itu, Dr Mahathir menegaskan walaupun kerajaan PH
baru berusia sembilan bulan, ia kini melakukan pelbagai usaha untuk memulihkan
keadaan negara yang telah dirosakkan kerajaan terdahulu.
Katanya, ini termasuk usaha ke arah menurunkan kos sara
hidup bagi mengurangkan beban rakyat.
Dr Mahathir berkata kerajaan PH berhasrat supaya semua kaum
di negara ini dapat menikmati kekayaan negara serta dibangunkan dengan adil dan
saksama.
Justeru, beliau berkata rakyat khususnya di Semenyih perlu
memikirkan masa depan dan memilih calon yang boleh membawa perubahan di kawasan
mereka.
“Kalau Muhammad Aiman menjadi Adun, saya yakin dia boleh
melakukan apa yang dia rancang di tempat ini,” katanya.
PRK DUN Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru
membabitkan Muhammad Aiman, Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti
Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.
Pengundian akan diadakan Sabtu ini. — Bernama


