KAJANG — Barisan Nasional (BN) menawan semula kerusi
Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih selepas calonnya, Zakaria Hanafi memenangi
persaingan empat penjuru pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu dengan
majoriti 1,914 undi.
Loading...
Zakaria, 58, meraih 19,780 undi untuk menewaskan calon
Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali, 30, yang memperoleh 17,866 undi;
Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (847 undi) dan
calon bebas yang juga seorang aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56, (725
undi).
Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan
Raya Datuk Mohd Sayuthi Bakar kira-kira 9.20 malam di Dewan Seri Cempaka Majlis
Perbandaran Kajang, Saujana Impian di sini.
Dengan kemenangan itu, BN menambah satu lagi kerusi di DUN
Selangor kepada lima selepas menang empat kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14) Mei tahun lalu, manakala PH menguasai 50 kerusi dan satu kerusi milik
PAS.
Kerusi DUN Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya,
Bakhtiar Mohd Nor daripada PH pada 11 Januari lepas.
DUN Semenyih mempunyai 54,503 pemilih berdaftar merangkumi
53,520 pengundi biasa, 951 pengundi awal dan 32 pengundi tidak hadir berada di
luar negara.
Peratusan keluar mengundi sehingga 5.30 petang selepas 24
pusat mengundi ditutup ialah sebanyak 73.24 peratus, berbanding 87.90 peratus
pada PRU14.
Pengundian awal pada Selasa lalu menyaksikan peratusan pergi
mengundi ialah 78 peratus.
PRK DUN Semenyih adalah PRK keenam diadakan selepas PRU14
dengan PH menang di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos 2018, DUN Balakong dan DUN
Seri Setia (8 September 2018) dan Parlimen Port Dickson (13 Oktober 2018),
manakala BN menang di Parlimen Cameron Highlands (26 Januari lalu). Bernama


