SEMENYIH — Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata pihaknya menerima dengan
hati terbuka keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN)
Semenyih yang tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PH) yang meletakkan calon
daripada Bersatu.
Naib presiden PH itu
berkata gabungan berkenaan akan membaiki segala kelemahan bagi memenangi
kembali hati rakyat.
Loading...
“Kami sudah cuba sedaya mungkin tapi rakyat lebih tahu apa
pilihan mereka, kami terima keputusan ini dengan hati terbuka. Mana-mana
kelemahan akan kami baiki,” katanya kepada pemberita di bilik gerakan utama PH
di sini malam tadi.
Barisan Nasional (BN) menawan semula kerusi DUN Semenyih
selepas calonnya, Zakaria Hanafi memenangi persaingan empat penjuru dengan
majoriti 1,914 undi.
Kata Mukhriz: “Kami anggap (kekalahan) ini sebagai satu
mesej yang mana kami perlu hayati sebaik mungkin.”
Zakaria, 58, meraih 19,780 undi untuk menewaskan calon PH
Muhammad Aiman Zainali, 30, yang memperoleh 17,866 undi; Nik Aziz Afiq Abdul,
25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (847 undi) dan calon bebas yang juga
aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56, (725 undi).
Keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya
Datuk Mohd Sayuthi Bakar pada kira-kira 9.20 malam di Dewan Seri Cempaka Majlis
Perbandaran Kajang, Saujana Impian, Kajang.
Dalam pada itu, Muhammad Aiman mengucapkan terima kasih
kepada kepimpinan PH yang meletakkan beliau sebagai calon dalam PRK berkenaan.
“Terima kasih juga kepada pengundi yang mengundi saya hari
ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi (BN) Datuk Seri Mohamad
Hasan berkata kerjasama baik antara BN dan PAS membuahkan hasil di kerusi DUN
Semenyih.
“Kami juga hendak lihat negara diurus dengan baik. Kami (BN
dan PAS) mahu membuat semakan dan imbangan (kepada urusan pentadbiran negeri
dan negara),” katanya kepada pemberita di Dewan Seri Cempaka yang menjadi pusat
penjumlahan rasmi undi bagi PRK itu.
Zakaria pula
merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi di Semenyih yang telah memberi
kepercayaan kepadanya untuk menjadi wakil rakyat.
Bagi Kuan atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang, biarpun
tewas namun beliau amat berpuas hati dengan sokongan yang diberikan warga
Semenyih.
“Undian yang saya terima menjangkau sasaran saya, saya
berpuas hati. Saya akan terus berkhidmat dan membantu rakyat di Semenyih dan
kawasan lain,” katanya.
Beliau turut melahirkan hasrat bertanding di kerusi Parlimen
Puchong pada pilihan raya umum akan datang. — Bernama


