KUALA LUMPUR — Tiada peruntukan dalam Perlembagaan
Persekutuan yang menyebut bahawa bukan Melayu tidak boleh memegang sebarang
jawatan dalam pentadbiran, Parlimen atau badan kehakiman, kata seorang pakar
undang-undang perlembagaan yang terkemuka Profesor Emeritus Datuk Dr Shad
Saleem Faruqi.
Beliau berkata Perkara 153 memperuntukkan bahawa
Perlembagaan Persekutuan merangkumi semangat tolak ansur, kesederhanaan dan
toleransi dan menambah bahawa Perkara 153(5) meletakkan Perkara 153 hingga
Perkara 136 tertakluk di bawahnya yang menyatakan bahawa semua orang tanpa
mengira kaum dalam perkhidmatan Persekutuan, hendaklah diberi layanan yang
saksama.
Loading...
“Tiada apa-apa dalam Perlembagaan untuk melarang bukan
Melayu daripada memegang jawatan rasmi dalam pentadbiran, parlimen atau badan
kehakiman,” kata beliau dalam pojok “Reflecting on the law” dalam akhbar The
Star yang disiarkan pada 28 Februari.
Shad Saleem jelas mengutarakan pandangannya sebagai respon
kepada ucapan seorang pemimpin pembangkang semasa pilihan raya kecil DUN
Semenyih baru-baru ini yang dilaporkan mempersoalkan pelantikan bukan Melayu ke
jawatan Peguam Negara, Ketua Hakim Negara dan Menteri Kewangan.
Pemimpin pembangkang itu juga dilaporkan mendakwa bahawa
pelantikan Peguam Negara adalah tidak sah kerana beliau tidak mengangkat sumpah
jawatan dengan bersaksikan al-Quran.
Shad Saleem, menerusi pojok dalam akhbar The Star, berkata Perkara
153 juga melindungi ”kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan
Sarawak”.
“Barangkali pengkritik lupa bahawa Ketua Hakim Negara
sekarang adalah seorang Bumiputera yang berasal dari Tuaran, Sabah. Sabah dan
Sarawak tidak akan terpengaruh terhadap sebarang percubaan untuk meminggirkan
Bumiputera negeri-negeri ini,” kata beliau.
Perkara 153 secara jelas menyebut bahawa menjadi
tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi hak secara sah kaum-kaum
lain”, kata beliau.
Shad yang merupakan penyandang Kursi Tunku Abdul Rahman di
Universiti Malaya berkata terdapat banyak contoh bukan Melayu memegang jawatan
penting dalam pentadbiran, badan kehakiman dan parlimen di negara ini sebelum
ini.
Antara mereka ialah Thomas Vernor Alexander Brodie
(1955-1959) dan Cecil M. Sheridan (1959-1963) yang dilantik sebagai Peguam
Negara sementara James Thompson dilantik ke jawatan Ketua Hakim Negara dari
1957 hingga 1963.
“Bagi menteri kewangan, Tun Tan Siew Sin, pernah memegang
jawatan itu selama 15 tahun,” kata beliau.
Shad Saleem juga menyangkal dakwaan bahawa Peguam Negara
dikehendaki mengangkat sumpah jawatan bersaksikan al-Quran sebagai tidak benar
kerana hanya lafaz sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang
di-Pertuan Agong seperti tertera di bawah Jadual Keempat mempunyai elemen Islam
dan agama.
"Semua sumpah jawatan lain tidak mengandungi elemen
agama dan perlu melafazkan taat setia kepada negara, Perlembagaan dan jawatan
yang disandang.
"Ia berikutan bahawa tiada keperluan kaum dan agama
dalam pelantikan Ketua Hakim Negara, Peguam negara atau menteri kewangan.
"Ini adalah jelas menyimpang dari Perlembagaan dan
merugikan negara untuk mengapi-apikan sikap perkauman atau bantahan berunsur
agama terhadap pelantikan ini, " kata beliau dalam pojoknya yang disiarkan
dalam akhbar berbahasa Inggeris itu.
Dalam pojok yang sama, Shad Saleem juga menjawab beberapa
kritikan yang menuduh Peguam Negara mengamalkan sikap berat sebelah perkauman
dan tidak bertindak untuk menyiasat kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd
Kassim tahun lepas.
“Ini nampaknya adalah satu pembohongan yang berniat jahat.
Inkues telah diarahkan mengikut Seksyen 399(1) Kanun Prosedur Jenayah dan
undang-undang akan berjalan mengikut landasannya.
“Hanya mereka yang berhasrat menyembunyikan kebenaran dan
mengambil kesempatan daripada kematian tragik menginginkan fakta disembunyikan
fakta,” kata beliau menerusi kolumnya dalam The Star.
Mengenai ucapan berbaur kebencian, beliau menulis dalam
pojok bahawa di Malaysia, sesiapa yang membuat ucapan itu boleh dihukum di
bawah beberapa undang-undang termasuk di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan
dan Seksyen Akta Hasutan.
Shad Saleem berkata di bawah Akta Hasutan, adalah menjadi
kesalahan untuk melahirkan kecenderungan bagi menimbulkan perasaan tidak puas
hati, permusuhan atau membenci antara kaum atau golongan penduduk atau agama.
Beliau berkata kenyataan yang mendakwa orang Melayu bimbang
terhadap sikap berat sebelah kerana Peguam Negara, Ketua Hakim Negara dan
menteri kewangan bukan dari kalangan Melayu menggambarkan sifat perkauman orang
Melayu dan satu penghinaan kepada semua masyarakat Islam dan Melayu.
“Inii disebabkan oleh sesetengah ahli politik dan kumpulan
terpencil yang menimbulkan ancaman dari musuh bayangan dan membesar-besarkan
“etno-populisme dan jingois nationalisme” untuk membangkitkan perasaan tidak
percaya orang lain”.
“Kita semua harus mengambil pendirian menentang politik
lapuk dan kecenderungan kuno. Pemimpin kita harus mengutuk ucapan sedemikian
dengan sekeras-kerasnya, secara terbuka dan berterusan,” kata beliau. — Bernama


