KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Pakatan
Harapan (PH) tidak gentar melihat gabungan Pas dengan UMNO kerana ia memberi
banyak isu dan peluang dalam mendedahkan kedua-dua parti bahawa pembohongan
telah menjadi wajib bagi mereka.
Perdana Menteri berkata gabungan itu agak menarik kerana
asas perpecahan dan penubuhan Pas dahulu belum selesai.
Loading...
"Ulama UMNO keluar UMNO untuk menubuh Pas kononnya
kerana Islam. Lagipun semasa kepimpinan UMNO yang lepas, salah satu sebab
penggabungan bahkan kerjasama UMNO dan Pas tidak berlaku adalah kerana Pas
telah mengkafirkan UMNO," katanya menerusi catatan di blog rasminya,
chedet.cc malam tadi.
Dr Mahathir, yang juga Pengerusi PH berkata antara faktor
lain, Pas juga tidak mahu bekerjasama dengan UMNO pada masa dahulu kerana UMNO
mengamalkan perlembagaan yang dituduh sekular dan kafir.
"Pas tidak pernah menarik balik 'fatwa' tersebut.
Sudahkah Pas Islamkan UMNO?," soal Dr Mahathir.
"Ini adalah di antara asas 'Amanat Haji Hadi' yang
membawa kepada sembahyang dua imam; tidak mahu makan sembelihan orang UMNO,
jenazah perlu disembahyangkan semula oleh orang Pas jika sebelumnya
disembahyangkan oleh orang UMNO, mengharamkan anak mengahwini anak orang UMNO,
mengharamkan isteri mengundi UMNO dan jika dilakukan akan gugur talak dan
bermacam-macam lagi," katanya.
Dr Mahathir turut mempersoalkan, sama ada kesemua larangan
dan amalan-amalan itu telah ditarik balik atau diarah untuk dihentikan?"
soalnya.
Beliau berkata melihat kepada perkembangan sekarang,
kerjasama antara UMNO dan Pas lebih ke arah untuk mengembalikan bekas perdana
menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai pemimpin dan menghalalkan semua jenayah
yang didakwa terhadapnya.
"Adakah Pas sudah anggap Najib yang sedang menghadapi
tuduhan-tuduhan rasuah dan salah guna kuasa tidak bersalah?
"Apakah atas nama penyatuan Melayu dan Islam, rasuah,
salah guna kuasa dan jenayah boleh dihalalkan? Apakah ini adalah pembohongan
yang wajib?
"Betul Najib belum didapati bersalah kerana perbicaraan
oleh Mahkamah belum dapat diadakan. Akan terimakah Najib sebagai pemimpin Pas
jika ia didapati bersalah," katanya.
BACA: Pembelotan dalam PH? Anwar dakwa Pas mahu elak isu
dana RM90 juta
Menurut Dr Mahathir, jika anggota dan pemimpin Pas yang arif
akan apa yang berlaku di serata dunia, kenapa mereka masih bersedia
bersekongkol bersama UMNO dan Najib.
"Tidak sedarkah mereka bahawa ramai ahli UMNO sudah
meninggalkan UMNO kerana telah jadi kleptokrasi dan bukan demokrasi.
"Mereka juga pasti sedar bagaimana beberapa buah bank
terkenal dunia telah ditutup dan pegawai-pegawai mereka didakwa dan dijel
kerana pembabitan di dalam skandal 1MDB," kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir berkata, Pas perlu sedar nilai yang diterap
apabila bekerjasama dengan Najib dan UMNO di waktu ini iaitu Najib menggelar
dirinya dan digelar oleh pengikutnya sebagai 'Boss' yang tidak perlu berasa
malu.
"Bos bermakna 'Tuan Hamba'. Apakah Pas juga bersedia
untuk jadi hamba kepada seorang yang dipercayai mencuri. Sudah gugurkah Pas
perasaan malu apabila menerima Najib sebagai "boss"," kata Dr
Mahathir.
Dr Mahathir turut menceritakan beberapa orang pemimpin Pas
telah datang berjumpa beliau dan menyerah satu dokumen akujanji akan
menyokongnya sebagai Perdana Menteri.
"Pemimpin Pas kata tidak akan berkempen sokong BN di
Semenyih. Tetapi pada hari penamaan calon ramai pemimpin Pas hadir bersama
pemimpin BN. Inikah janji Pas?," tanya Dr Mahathir.
Pada Selasa, UMNO dan Pas mengumumkan kerjasama secara rasmi
yang akan memfokuskan aspek penyatuan ummah. - BERNAMA


