JOHOR BARU — Datuk Osman Sapian yang meletakkan
jawatan sebagai menteri besar Johor semalam, merupakan menteri besar yang
dipercayai paling singkat mentadbir kerajaan negeri ini iaitu tidak sampai 11
bulan.
Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas itu mengangkat
sumpah sebagai enteri besar Johor ke-16 di Istana Bukit Serene pada 12 Mei
tahun lepas, susulan kemenangan Pakatan Harapan (PH) sewaktu Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14) pada 9 Mei.
Loading...
Osman, ketika dilantik merupakan Setiausaha PH dan Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Johor, menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled
Nordin daripada Barisan Nasional (BN) sebagai menteri besar.
Pada PRU lepas, PH memenangi 36 kerusi DUN berbanding BN
yang mendapat 19 kerusi dan PAS dengan satu kerusi, sekaligus mendapat mandat
parti itu membentuk kerajaan negeri.
Osman yang bertanding di kerusi DUN Kempas memperoleh 21,137
undi mengalahkan lawannya dengan majoriti 9,178 undi iaitu calon BN, Datuk
Ramlee Bohani yang menerima 11,959 undi manakala calon PAS, Dzulkifli Suleiman
menerima 2,321 undi.
Pengerusi PH Johor dan Bersatu Johor itu, pernah menyandang
jawatan sebagai Adun Kempas di bawah BN selama tiga penggal mulai 1999 hingga
2013 sebelum digugurkan daripada bertanding pada PRU-13.
Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata
Osman sudah meletakkan jawatan sebagai menteri besar Johor, dan Osman telah
menyerahkan dua surat peletakan jawatan kepadanya dalam satu pertemuan di
Putrajaya kelmarin, dengan satu daripadanya kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim
Sultan Iskandar.
Walaupun tempoh menerajui pentadbiran kerajaan negeri
terlalu singkat, Osman merupakan Menteri Besar yang agak kontroversi.
Sebaik dilantik, beliau membuat kenyataan bahawa kerajaan PH
tidak akan memberi sebarang peruntukan kepada Adun pembangkang di Johor,
berbeza dengan pendirian PH di peringkat pusat yang mahu memberi peruntukan
kepada semua wakil rakyat, tanpa mengira sama ada kerajaan atau pembangkang.
Bagaimanapun, Osman kemudian menjelaskan hasrat awal
kerajaan negeri untuk tidak menyalurkan peruntukan pembangunan kepada
pembangkang, adalah keputusan yang belum lagi dimuktamadkan.
Awal tahun ini pula, beberapa portal berita dari Singapura
mendakwa Osman memasuki perairan negara itu semasa lawatannya ke kawasan
sempadan perairan Malaysia-Singapura pada 9 Januari. Laporan itu disangkal
Osman.
Singapura mendakwa Osman menceroboh perairan wilayahnya dan
mengemukakan bantahan melalui nota diplomatik kepada Wisma Putra bertarikh 11
Januari, dan juga meminta penangguhan mesyuarat ke-14 Jawatankuasa Bersama
peringkat Menteri bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) yang dijadualkan pada 14
Januari.
Februari lalu, Osman turut terpalit isu sijil palsu sebelum
mengakui beliau tidak menamatkan pengajian ketika menuntut di Kolej Pertanian
Malaya, yang kemudiannya dinaik taraf menjadi Universiti Pertanian Malaysia
(UPM).
Osman turut menjelaskan yang beliau tidak tahu mengenai beberapa
laman sesawang yang mengatakan dirinya berkelulusan diploma dan ijazah
perakaunan daripada UPM. — Bernama


