ISTERI bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor
sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, atas
pertuduhan baharu kes menerima rasuah berjumlah RM5 juta berhubung projek
tenaga solar sekolah di Sarawak.
Rosmah, 68, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan
atas pertuduhan itu selepas dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Loading...
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa menerima rasuah
berjumlah RM5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang
Samsudin, lapor Harian Metro.
Ia sebagai dorongan upah untuk membantu Jepak Holdings Sdn
Bhd mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan
Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak
bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di No 11, Jalan
Langgak Duta, Taman Duta, di sini, pada 20 Disember 2016.
Bagi kesalahan itu, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A)
Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara
maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan,
atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar
menawarkan jumlah jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin kerana kes ini
adalah kes serius membabitkan suapan berjumlah RM5 juta.
Bagaimanapun, peguam Datuk Akberdin Abdul Kadir memohon
supaya mahkamah mengguna pakai jaminan yang telah dikenakan kepada anak guamnya
dalam dua tuduhan kes rasuah sebelum ini membabitkan projek sama.
"Anak guam saya adalah suri rumah sepenuh masa dan
jumlah jaminan RM1 juta adalah terlalu tinggi.
"Mohon mahkamah mengguna pakai jaminan lama
terhadapnya," katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan Rosmah mengguna pakai jaminan
terdahulu, RM1 juta bagi kes ini.
Selain itu, mahkamah menetapkan 10 Mei depan sebagai sebutan
semula kes.
Pada 15 November tahun lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah
atas tuduhan meminta suapan RM187.5 juta, iaitu 15 peratus daripada nilai
kontrak daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.
Terdahulu, Rosmah yang memakai baju kurung dan selendang
hijau tiba di Mahkamah Sesyen 9 dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM), 8.50 pagi.
Turut kelihatan menemani Rosmah sepanjang prosiding itu,
anak lelakinya, Norashman Najib.


