Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 15 hari
bermula 3 Februari tahun depan untuk perbicaraan kes bekas Ketua Pengarah
Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid yang dituduh
pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta.
Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan 3 Feb hingga 7
Feb, 10 Feb hingga 14 Feb dan 17 hingga 21 Feb 2020 untuk perbicaraan semasa
pengurusan kes itu dan turut menetapkan 25 Mei untuk pengurusan kes lanjut.
Loading...
Terdahulu, Hasanah, 61, yang diwakili oleh peguam Shaharudin
Ali minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan semula terhadapnya.
Timbalan Pendakwa Raya Mahadhir Mohd Khairudin memaklumkan
bahawa pihak pendakwaan akan memanggil antara 15 dan 20 saksi.
Hasanah didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua
Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang
berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan antara 30 April lalu dan 9
Mei tahun lepas di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan Jabatan
Perdana Menteri, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan
Persekutuan Putrajaya.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan
yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda,
jika sabit kesalahan. - Bernama


