Konflik antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan
istana Johor nampaknya belum menunjukkan tanda untuk reda.
Beberapa jam selepas kritikan pedas Mahathir terhadap Tunku
Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, penasihat media dan komunikasinya A
Kadir Jasin turut mengulasnya dalam satu hantaran Facebook petang tadi.
Loading...
Walaupun tidak menyebut sebarang nama, jelas sasaran
hantaran itu ialah Tunku Ismail memandangkan beliau merujuk kenyataan Tunku
Ismail sebelum ini serta gelaran Mahathir terhadapnya sebagai "budak
kecil" (little boy), lapor Malaysiakini.
Kadir meminta Ketua Polis Negara yang baru Abdul Hamid Bador
untuk "buka balik IP (kertas siasatan) yang beku atau tutup".
Bagaimanapun wartawan veteran itu tidak mengulas lanjut
tentang perkara itu.
Beliau juga meminta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) agar
memeriksa sebanyak mana cukai yang dibayar Mados Sdn Bhd sejak "beratus
tahun berniaga".
Mados Sdn Bhd dimiliki keluarga diraja Johor. Menurut
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), ia antaranya terlibat dalam pelaburan
hartanah, pembalakan dan operasi kuari.
Sementara itu, Kadir juga mengimbas kembali ketika Perang
Dunia Kedua berkenaan bom atom Amerika Syarikat - yang digelar "Little
Boy".
"'Little Boy' atau budak kecil macam bom atom yang
meranapkan Hiroshima pada 1945 ini amat berbahaya walaupun dia kecil dan tak
tahu apa-apa.
"Jadi kita kenalah buat sesuatu. Tak cukup dengan cakap
sahaja.
"Lagi pun budak kecil ini sudah ala-alukan kita untuk
melakukan 110 peratus. Tak payahlah 110 peratus. 50 peratus dulu sudah
cukup," katanya lagi.
Dua hari lalu, Tunku Ismail menyebut tentang dakwaan plot
oleh individu bernama Kadir untuk 'menghabiskan' pihak istana.
"Kadir, saya tahu mengenai pertemuan di Menara Ilham.
Sila teruskan (rancangan) itu.
"Tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini. Jika
kamu mahu menghabiskan kami, kamu perlu menghabiskan kesemuanya. Kamu tidak
boleh buat separuh jalan atau 50 peratus. Kamu perlu bersungguh-sungguh dengan
110 peratus," titah pewaris takhta Johor itu di Twitter.
Tunku Ismail tidak menjelaskan siapakah "Kadir"
itu, tetapi ia dipercayai merujuk kepada A Kadir Jasin.
Menara Ilham menempatkan pejabat Daim Zainuddin, seorang
lagi orang kuat Dr Mahathir.
Ketika wawancara khas bersama media hari ini, Mahathir juga
menyifatkan Tunku Ismail sebagai "bodoh" dan menggesanya agar tidak
bercakap tentang perkara yang tidak diketahuinya.


