Tun Dr Mahathir Mohamad berkata dalam usaha melangkah ke depan, kerajaan akan mengkaji kesesuaian Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dalam konteks budaya tempatan.
Perdana Menteri menegaskan tiada apa yang perlu ditakutkan
jika Malaysia memutuskan untuk meratifikasikan statut berkenaan.
Loading...
Statut Rom adalah perjanjian yang menubuhkan ICC yang
diperakukan di Rom pada 17 Julai dan mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2002.
Dr Mahathir berkata kerajaan terpaksa membatlkan
keputusannya untuk meratifikasikan perjanjian itu kerana disebabkan oleh
beberapa orang yang tidak tahu langsung mengenai perjanjian itu telah
memutarbelitkan maklumat itu.
"Tetapi kita akan menerangkan kepada mereka mengapa
Statut Rom tidak akan memudaratkan sesiapa yang bukan penjenayah,” katanya pada
sidang media khas bersempana Ulang Tahun Pertama Pentadbiran Kerajaan Pakatan
Harapan, di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata sama ada Malaysia menjadi Negara Pihak kepada
Statut Rom atau sebaliknya, seluruh dunia akan menentang sesebuah negara jika
ada berlaku kesalahan.
Misalnya, Dr Mahathir berkata, kerajaan Myanmar tidak
terkecuali daripada kecaman dan tindakan antarabangsa kerana gagal melaksanakan
sebarang usaha membela nasib kumpulan etnik Rohingya dan sebaliknya menyokong
penghapusan kaum itu.
“Walaupun Myanmar tidak menyertai Statut Rom tetapi komuniti
antarabangsa telah mengutuk dan mengambil tindakan terhadap negara itu,”
katanya.
Pada 5 April lalu, Dr Mahathir mengumumkan Malaysia menarik
diri daripada Statut Rom berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik
dalam kalangan masyarakat.
Beliau menegaskan keputusan itu bukan disebabkan perjanjian
itu akan memudaratkan negara. - Bernama


