Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar
kecewa atas laporan berita mengaitkan isu peningkatan kos
projek Sistem Transit Aliran Johor–Singapura (RTS) dengan
sebidang tanah milik baginda Tuanku di Bukit Chagar di sini.
Loading...
Setiausaha Sulit kepada Sultan Johor, Datuk Jaba Mohd Noah
berkata, sehingga ke hari ini, baginda Tuanku tidak pernah dimaklumkan mengenai
tanah miliknya yang akan terlibat untuk projek tersebut.
“Namun begitu, DYMM Sultan Johor telah bertitah bahawa sekiranya
benar tanah milik baginda Tuanku di Bukit Chagar terlibat untuk projek RTS,
baginda Tuanku berkenan untuk menyerahkan tanah tersebut kepada kerajaan tanpa
sebarang kos.
“Dengan syarat projek RTS ini mestilah diteruskan dengan
segera kerana baginda Tuanku amat memahami derita rakyat yang terpaksa
berulang-alik ke Singapura,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik dalam
Facebook rasmi Sultan Johor di sini hari ini seperti dilapor Sinar harian.
Jaba berkata, sebagaimana yang sering ditegaskan,
kepentingan rakyat dan kerajaan sentiasa menjadi keutamaan baginda Tuanku dan
setiap isu haruslah dibawa berbincang secara muafakat.
Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata
kerajaan akan menuntut semula tanah yang digunakan untuk pembinaan projek
Rangkaian Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura, sekiranya benar ia
telah dipindah milik kepada mana-mana pihak.
Dr Mahathir berkata, sesiapa sahaja yang ingin membuat
pengambilan tanah, perlu melalui proses sedia ada.
“Ya...kita akan tuntut balik tanah itu. Kalau ada
pengambilan oleh mana-mana pihak, mereka mestilah melalui proses sedia ada,
apabila tanah nak dimiliki oleh sesiapa pun,” katanya.


