LONDON, 18 Jun ― Bayi lapan bulan Ainul Mardhiah yang
selamat menjalani pembedahan bagi membuang Tumor Sel Kuman kanser pada mulutnya
minggu lepas, hari ini menerima kunjungan pelawat istimewa, pemimpin nombor
satu negara Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ibu bapanya, pasangan Ahmad Safiuddin Ahmad Razak dan Nurul
Erwani, kedua-duanya 24 tahun, jelas cukup teruja menerima kunjungan Dr
Mahathir, di penghujung lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri ke United
Kingdom (UK).
Loading...
Ainul Mardhiah telah menunjukkan tanda-tanda positif selepas
menjalani pembedahan di Hospital Kanak-kanak di sini Isnin lepas, dan menurut
bapanya, bayi itu kini sudah boleh bernafas dengan sendiri tanpa bantuan alat
pernafasan.
Bayi yang dilahirkan selepas hanya tujuh bulan dalam kandungan,
disahkan mengidap kanser yang jarang berlaku itu sejurus selepas dilahirkan,
dan walaupun pertumbuhan kanser itu pada mulanya sudah dibuang di Hospital
Kuala Lumpur, namun tanda-tanda gejalanya tetap muncul kembali, kali ini di
bahagian mulutnya.
Dr Mahathir semasa ditemui media Malaysia selepas melawat
bayi itu berkata “saya terharu dengan bayi ini. Bagaimanapun, saya gembira
dengan sikap yang ditunjukkan rakyat Malaysia sehingga membolehkan Ainul
Mardiah mendapatkan rawatan di sini”.
Ahmad Safiuddin berkata walaupun dilahirkan dengan penyakit
itu, anaknya sama seperti anak-anak lain memiliki semangat kental untuk terus
hidup.
Ainul Mardhiah dan ibu bapanya tiba di sini untuk pembedahan
di hospital swasta berkenaan pada 24 Mei, yang menyaksikan sekumpulan pakar
bedah berjaya membuang tumor seberat 200g yang menutupi seluruh mulutnya, dalam
pembedahan yang mengambil masa selama kira-kira lima jam.
Pembedahan yang melibatkan belanja tinggi serta rumit itu
dapat dilaksanakan dengan bantuan orang ramai yang bermurah hati menghulur
bantuan, di samping bantuan pelatih pakar bedah Dr Nur Amalina Che Bakri yang
berusaha mendapatkan bantuan kenalannya dari kalangan pakar perubatan di UK,
bagi mencari cara terbaik dalam merawat penyakit bayi itu.
Jumlah kos pembedahan itu dianggar boleh mencecah lebih RM1
juta, dan difahamkan selain orang ramai, kerajaan negeri Melaka, Jabatan
Imigresen Malaysia serta Penerbangan Malaysia turut sama menghulurkan bantuan
bagi menjayakan pembedahan itu.
Ahmad Safiuddin mengucapkan terima kasih kepada seluruh
rakyat Malaysia terhadap sokongan mantap kepada anaknya, Ainul Mardhiah.
Lawatan ke hospital itu adalah acara terakhir dalam lawatan
kerja Dr Mahathir ke UK. ― Bernama


