PETALING JAYA ― Masyarakat perlu memainkan peranan
bagi mengembalikan “sikap peduli” ke dalam budaya dan adat kita untuk membantu
mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental (MHC) tampil mendapatkan
rawatan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata
masyarakat boleh memulakan usaha itu dengan hentikan daripada melabel mereka
yang menghadapi masalah kesihatan mental sebagai “gila”, “senteng”, “tiga suku”
dan pelbagai istilah yang mengaibkan yang mendorong mereka menjauhi daripada mendapatkan
bantuan dan rawatan.
Loading...
“Pemencilan dan dibuang oleh keluarga dan rakan-rakan adalah
perkara biasa. Keadaan ini memberi kesan buruk terhadap masyarakat kerana tiada
siapa yang mahu membantu, tetapi sebaliknya semua orang mudah menilai, secara
hipotesis.
“Kita mesti secara komuniti menangani cabaran kesihatan dan
stigma yang menghantui mereka yang mengalami masalah kesihatan mental hari demi
hari,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan Pengalaman Kesihatan Mental
2019, di sini semalam.
Dzulkefly berkata penyelidikan menunjukkan tiga
kecenderungan tertentu yang wujud terhadap mereka yang menghidap masalah itu,
yang pertama adalah ketakutan dan penyisihan, yang kedua autoritarianisme dan
kebaikan yang terdapat niat positif tetapi sebaliknya menyebabkan mereka yang
menghidap cabaran mental dipinggirkan.
Untuk menangani cabaran ini, beliau berkata Kementerian
Kesihatan telah menyediakan perkhidmatan kesihatan mental melalui empat
institusi mental, 61 hospital, 25 Pusat Kesihatan Mental masyarakat (MENTARI),
dan program penyaringan dan intervensi disediakan di 1,001 klinik kerajaan di
seluruh negara.
Kementerian juga telah memperkenalkan dan melaksanakan
program Komuniti Sinar Perkasa Negara (KOSPEN) serta latihan kesihatan mental
sebagai sebahagian daripada program latihan pekerja, untuk memperkukuh lagi
usaha yang dilakukan melalui program KOSPEN.
Dzulkefly menambah untuk melenyapkan stigma ke atas mereka
yang mempunyai masalah kesihatan mental, pendidikan adalah pendekatan terbaik
kerana ia boleh bermula di mana-mana peringkat.
“Melalui pendidikan, kita dapat menyebarkan pemahaman yang
lebih baik mengenai cabaran yang dihadapi oleh mereka yang menghidap masalah
mental, memupuk sokongan yang diperlukan dan membendung diskriminasi dan
pengabaian,” katanya.
Masyarakat juga perlu mendekati mereka melalui penglibatan
bagi melenyapkan stigma yang membelenggu mereka yang menghadapi masalah
kesihatan mental, katanya. ― Bernama


