Penulis manuskrip ‘Mengapa Anwar Tak boleh Jadi PM’ hari ini
menafikan dirinya merupakan seorang penulis upahan dan berkata telah menulis
tentang hal politik dengan lebih 50 judul buku politik, sejak 40 tahun dulu.
Antara salah satu buku yang pernah diterbitkannya pada tahun
1993 adalah berjudul ‘Anwar Ibrahim Antara Nawaitu dan Pesta Boria’.
Beliau yang mengaku sebagai penulis asal manuskrip tersebut
juga menafikan cuba mengugut Presiden PKR itu untuk mendapat jumlah yang lebih
tinggi daripada jumlah yang ditawarkan kepadanya untuk menerbitkan buku itu.
Loading...
Sebaliknya berkata beliau menawarkan untuk menjual hak cipta
buku tersebut kepada Anwar.
“Saya beri naskah itu kepada Anwar dan (anggota parlimen
PKR) Johari Abdul untuk mereka baca, dan kalau mahu, membeli hak ciptanya. Saya
kemukakan naskah itu kepada beberapa individu untuk mereka beli (dan) letak
harga RM400,000…
“Saya letak harga jualan hakcipta RM400 ribu kerana saya
tahu buku ini boleh jadi bestseller. Pengalaman selama 40 tahun sebagai
penerbit/penulis saya tahu jenis buku yang boleh jadi bestseller.
“Saya terkejut bila Anwar kata saya hendak peras ugut dia
minta bayaran RM400,000.
“Harga itu berdasarkan nilai hak cipta yang bakal dijual
kepada pembeli.
“Kalau dia tak minat, jangan beli. Tak ada apa-apa paksaan
sebab hak cipta itu saya punya,” katanya yang dikenali dengan nama Yahaya
Ismail di Facebooknya awal pagi tadi.
Dalam sidang media semalam Johari mendedahkan manuskrip dan
mendakwa Yahaya cuba untuk memeras ugut Anwar.
“Jika Anwar tawarkan harga lebih tinggi (daripada RM400,000
yang ditawarkan pihak lain), dia sanggup untuk beri buku itu kepada Anwar.
Jika tidak, dia akan beri kepada individu yang sanggup
menerbitkan buku berkenaan,” kata Ahli Parlimen Sungai Petani itu lagi.
Dilaporkan Johari menerima manuskrip berkenaan 10 Jun lalu
yang berkata turut membuat laporan polis berkenaan manuskrip itu.
Yahya bagaimanapun menafikan bahawa dirinya adalah penulis
upahan dan mencabar pihak yang menuduhnya itu mengemukakan bukti atau bersedia
untuk berdepan saman daripadanya.
“Kalau mereka menuduh saya penulis upahan menghasilkan buku
itu sila tunjuk bukti. Boleh cek akaun bank saya. Sila dedahkan nama manusia
yang bermurah hati mengupah saya.
“Saya akan menyaman mereka kerana menuduh saya penulis
upahan.” Tulisnya lagi.
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui pada
Majlis Makan Malam Sempena Aidilfitri anjuran Majlis Perniagaan Malaysia-India
di Petaling Jaya, semalam berkata, polis harus menyiasat penulis manuskrip buku
“Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM’.
“Orang yang jadi penulis picisan dibayar, diupah masa (ini)
untuk diketahui oleh umum, (harus) disiasat, diambil tindakan yang wajar.
“Polis harus siasat, dia ugut tak bayar RM400,000 kita
‘publish’ (terbit),” kata Anwar lagi.
Yahaya berkata dia akan menerbitkan sendiri buku tersebut
jika tiada pihak lain yang berminat.
“InsyaAllah saya akan menerbitkan buku ini kelak sekiranya
tidak ada pihak lain yang sanggup membeli hakciptanya.” – Malaysian Update


