Perbicaraan kes SRC International bersambung dengan bekas
pengarah SRC International Sdn Bhd, Suboh Md Yassin dipanggil untuk memberi
keterangan sebagai saksi dalam perbicaraan terhadap Najib Razak.
Suboh, 68, dilantik sebagai pengarah bukan eksekutif
syarikat oleh Najib pada tahun 2011 dan merupakan saksi penting dalam
perbicaraan kes SRC International.
Loading...
Suboh dilaporkan melarikan diri keluar negara pada tahun
2015 sebelum menyerah diri kepada pihak berkuasa Jun tahun lalu dan kini
diletakkan dalam program perlindungan saksi ketika menunggu untuk memberikan
keterangan sebagai saksi dalam kes SRC.
Suboh disebut pada prosiding perbicaraan kes itu pada Isnin
lalu, ketika peguam mewakili Najib menyoal balas saksi ke-39 pendakwaan, iaitu
bekas Pengerusi Lembaga Pengarah SRC, Tan Sri Ismee Ismail, 54.
Mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711),
Individu yang diletakkan dalam program perlindungan saksi akan ditempatkan di
rumah pilihan sendiri yang dirasakan selamat, atau di lokasi yang tidak
didedahkan.
Akta Perlindungan Pemberi Maklumat ini bertujuan untuk
menggalakkan dan memudahkan orang awam untuk mendedahkan sebarang perbuatan
rasuah dan salah laku lain yang termasuk di bawah kelakuan tidak wajar di bawah
akta ini.
Pada prosiding Isnin lalu, peguam Harvinderjit Singh
mencadangkan kepada Ismee bahawa Suboh mungkin terbabit dengan bekas Ketua
Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil untuk menipu Lembaga Pengarah
berhubung perjanjian perniagaan di antara Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Putra
Perdana Construction Sdn Bhd.
Ismee yang merupakan saksi pendakwaan ke-39 menjawab soalan
Harvinderjit, bersetuju dengan cadangan peguam itu.
Gandingan Mentari adalah anak syarikat SRC manakala Putra
Perdana Construction pula adalah anak syarikat Putrajaya Perdana Berhad. –
Malaysian Update


