KOTA KINABALU — Prof Datuk Dr D. Kamarudin D. Mudin
mengesahkan beliau telah menerima surat pemakluman pemendekan tempoh
perkhidmatannya sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan
sekali gus mengesahkan khabar angin mengenainya.
Katanya tempoh perkhidmatannya dipendekkan ke 29 Julai ini
dan tujuan beliau memaklumkannya bagi mengelakkan khabar angin negatif
mengenainya, terus berlegar.
“Perkara ini perlu dijelaskan bagi menangkis gosip liar
pihak tertentu yang berkepentingan. Saya berharap setiap kakitangan tidak terpengaruh
dengan perubahan ini, dan meneruskan tanggungjawab masing-masing.
Loading...
“Berkaitan keputusan pemendekkan tempoh itu, saya akur
dengan keputusan Menteri Pendidikan Maszlee Malik dan percaya keputusan itu
dibuat secara profesional, dengan mengambil kira kepentingan universiti,”
katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
D. Kamarudin berkata perubahan pengurusan dalam organisasi
kerajaan adalah satu proses biasa dalam kerajaan Malaysia baharu dan pengurusan
universiti sentiasa akur, serta menerima keputusan daripada Kementerian
Pendidikan.
Katanya beliau berharap perancangan yang direncanakan untuk
memantapkan lagi UMS termasuk dalam aspek tadbir urus bagi tempoh tiga tahun
sehingga 2020, serta beberapa perancangan lain, diteruskan para kakitangan
akademik dan pentadbiran UMS.
“Perubahan seperti kajian semula kurikulum perlu diteruskan,
kerana kita mahu melahirkan para graduan dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran
serta sedia memenuhi pasaran kerja semasa, dan ini sekali gus menyumbang kepada
kebolehpasaran graduan UMS,” katanya.
Mengenai bakal penggantinya, D. Kamarudin berharap bakal
naib canselor UMS baharu adalah seorang berintegriti tinggi, dan dalam masa
sama, berharap isu pemilihan jawatan itu tidak dipolitikkan. — Bernama


